Angkat sumpah Ketua Menteri Melaka baharu Jumaat ini?

Angkat sumpah Ketua Menteri Melaka baharu Jumaat ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Spekulasi pertukaran tampuk kepemimpinan Ketua Menteri Melaka sekali lagi bertiup kencang hari ini selepas tular maklumat yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp bahawa Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri yang baharu bakal berlangsung Jumaat ini.

Maklumat berkenaan mendakwa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh akan mengangkat sumpah pada pukul 3 petang, menggantikan penyandang, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Ab. Rauf yang juga Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.

“Saya enggan mengulas lanjut, sehingga ada maklumat selanjutnya,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan respons Sulaiman selepas mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga tidak berhasil apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu enggan bertemu dengan pengamal media.

Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri, Nasharuddin Muhammad memaklumkan, Sulaiman tidak bersedia untuk mengulas perkara itu.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa pembentukan kerajaan perpaduan atau Kerajaan Madani seperti di peringkat Persekutuan bakal wujud di Melaka.

Perkara itu dinyatakan secara terbuka oleh Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam di sini, Isnin lalu.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas sama ada bakal berlaku rombakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk memberi ruang ADUN Pakatan Harapan (PH) menjadi sebahagian kerajaan negeri, Presiden UMNO itu menjelaskan dalam sidang akhbar bahawa, sebarang keputusan akan dibuat selepas perbincangan dengan Sulaiman dan Ab. Rauf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya