Amang seksual: Pasangan suami isteri dibebaskan dengan jaminan polis - Utusan Malaysia

Amang seksual: Pasangan suami isteri dibebaskan dengan jaminan polis

SURINA Saad (lima dari kiri) bergambar bersama pengamal media Perlis yang menerima sijil penghargaan sempena sambutan Hari Peringatan Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasangan suami isteri yang direman bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang penghuni sebuah rumah perlindungan dan kebajikan kanak-kanak dibebaskan dengan jaminan polis.

Buat masa ini, polis masih sedang menjalankan siasatan rapi berhubung kes itu selepas penahanan pasangan berkenaan yang merupakan pengendali rumah kebajikan tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, menerusi siasatan awal, pihaknya mendapati pasangan terbabit melakukan dua kesalahan iaitu membabitkan pelanggaran syarat premis dan melibatkan kes di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis sebelum pertuduhan dibuat memandangkan kita sedang lakukan siasatan secara lebih mendalam lagi berhubung kes itu.

“Premis terlibat juga telah dikosongkan oleh Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM) sebelum ini,” katanya selepas sambutan Hari Peringatan Polis Ke-216 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.

Dalam majlis sama, petugas media di negeri ini turut menerima sijil penghargaan atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, polis mengesahkan penahanan dua individu yang merupakan pasangan suami isteri dan pengendali sebuah rumah perlindungan bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang penghuni premis terbabit.

Menurut sumber, pasangan terlibat berusia lingkungan 50-an dan ditahan di kediaman mereka sekitar Jejawi, Arau.

Mangsa berusia 20 tahun itu dikatakan telah tampil sendiri bagi membuat laporan polis pada awal bulan ini namun tidak dapat dipastikan sama ada perlakuan amang seksual itu dilakukan ketika dia masih di bawah umur atau sebaliknya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai sambutan berkenaan, Surina berkata, pihaknya berharap agar pasukan PDRM akan dapat menjalinkan kerjasama lebih erat bersama masyarakat sejajar dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Tambahnya, pihaknya juga berharap pasukan PDRM akan terus mempamerkan prestasi terbaik buat masyarakat.

“Harapan saya semoga PDRM menjadi pasukan terunggul di dunia selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya