KUALA LUMPUR: Program Akademi Qurra’ Sabtu lalu menyaksikan penyingkiran dua peserta, Tilmiz Faridzuan dan Tilmizah Shafiyah selepas masing-masing mencatatkan markah terendah sekaligus berada di kedudukan dua tercorot.
Menjelaskan keputusan itu, Ketua Juri Program Akademi Qurra’, Tarmizi Abdul Rahman memberitahu kesalahan tajwid dan lagu taranum antara kelemahan yang dikesan pada persembahan dua peserta tersebut, sekaligus menerima markah terendah minggu lalu.
Menurut Tarmizi, peserta perlu kerap melatih bacaan untuk memperbaiki kemahiran bertaranum mereka.
“Secara keseluruhan, peserta sudah mahir untuk mengenal pasti taranum yang diaju secara spontan, tetapi terdapat satu atau dua peserta masih tercari-cari air lagu dan gagal menjawab dengan baik.
“Cabaran paling besar yang dihadapi mereka adalah apabila diuji untuk bertaranum secara spontan. Bila terlalu fokus yang pertama, yang kedua mereka sudah samar. Setakat ini baru uji dua taranum, di peringkat separuh akhir mungkin tiga serentak atau dua, tapi dengan masa yang agak panjang. Sebelum ini, dua taranum dua minit setengah hingga tiga minit.
“Dalam mana-mana pertandingan tilawah, peserta berpeluang memilih lebih awal jenis taranum pilihan mereka. Namun, dalam Akademi Qurra’, hanya surah yang diberikan awal, taranum pula diberikan pada hari pertandingan. Itu yang membuatkan mereka gementar dan kelam kabut,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Akademi Qurra’, Saifulizzam Mohd. Lizah berkata, pihaknya juga tidak menjangkakan dua peserta yang tersingkir itu berada pada kedudukan tercorot.
“Berlaku pertukaran mentor dan peserta pada minggu ke empat. Kita nak bagi peluang mentor menyesuaikan diri dengan peserta. Kemudian, minggu kelima kita beri peluang tidak ada yang tersingkir kerana dua penyingkiran telah dibuat pada peringkat suku akhir.
“Cuma, sedikit terkejut kerana dua peserta tersingkir itu tidak pernah berada di kedudukan terbawah sebelum ini. Saya melihat perkembangan peserta dan mereka antara yang konsisten. Dua tiga kali juga kira markah peserta untuk pastikan. Tapi, memang mereka ada beberapa kesalahan dari segi tajwid dan taranum,” katanya lagi.
Akademi Qurra’ yang dihoskan oleh Fakhrul UNIC disiarkan setiap Sabtu pukul 9 malam.
Program tersebut diadili sepenuhnya juri tetap iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Qari Muhammad Qayyim Nizar selain kehadiran juri jemputan setiap minggu.
Selain itu, Mudarris dan Mudarrisah, Ammar Mukhlis, Farhatul Fairuzah dan Sofizah Mousin telah dilantik untuk membimbing semua peserta program berkenaan.