BERA: Lebih lima tahun disahkan menghidap kanser payudara dengan pelbagai usaha telah dibuat termasuk pengambilan ubat-ubatan moden dan tradisional selain kemoterapi, namun semua itu tidak pernah melemahkan semangat seorang wanita warga emas.
Memulakan bicara, Sopiah Basri, 85, berkata, dia tidak pernah rasa dirinya malang atau kurang bernasib baik, sebaliknya apa yang menimpa dirinya adalah satu ujian daripada Allah SWT yang mahu hamba-Nya sentiasa reda dengan apa yang berlaku.
Menurut wanita itu, sejak menghidap kanser payudara, dia perlu sentiasa berulang-alik dari Felda Bukit Puchong, Triang, Pahang ke Hospital Temerloh sejauh 63 kilometer untuk menerima rawatan dan mengambil ubat-ubatan.
“Walaupun jauh, namun saya tidak pernah patah semangat. Bagi saya apa sahaja yang dilalui perlu diredai. Disebalik ujian ini, hati saya tetap tenang. Malah, saya menganggap jika saya dalam kesusahan, di luar sana ada orang lain yang lebih susah dalam hidup mereka,” katanya.
Mendedahkan lebih lanjut, Sopiah sedar bahawa dengan usianya yang kian bertambah, rawatan yang diterima akhir-akhir ini lebih kepada ubat-ubatan bagi menahan sakit.
“Dengan usia 85 tahun, mungkin badan saya sukar menerima rawatan. Oleh itu, ubat-ubatan yang diberi lebih kepada untuk menahan sakit.
“Namun saya reda dan tidak pernah berputus asa sejak disahkan sebagai penghidap kanser payudara lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada program ziarah prihatin anjuran Cancer Support Pahang (CSP) di sini, baru-baru ini.
Pada program itu, wakil CSP Daerah Bera, Izudin Muhamad Amin menyampaikan sumbangan dan bantuan selain bertanya khabar kepada golongan yang kurang bernasib baik.
Sopiah berkata dia berpuas hati kerana dapat menghabiskan separuh dari usianya sekarang mengajar al-Quran dan fardu ain kepada anak-anak tempatan sehinggalah dia jatuh sakit.
“Saya puas hati kerana dapat melahirkan ramai anak murid. Mengajar al-Quran menjadikan jiwa saya tenang walaupun diri ini sebenarnya sakit,” katanya.
Dia kini tinggal bersama anak perempuannya berusia 58 tahun yang merupakan seorang peneroka Felda. Suami Sopiah meninggal dunia pada 2003 kerana sakit tua.
Sopiah menambah, dia juga tidak sabar untuk menjalani ibadah puasa pada Ramadan yang akan menjelang tiba pada akhir Mac ini.
“Semangat saya ialah menanti Ramadan yang tiba dalam masa beberapa minggu lagi. Harapan saya agar dapat berpuasa penuh sepanjang Ramadan. Ini kerana Ramadan menjadikan jiwa saya tenang,” katanya.
Sementara itu, Izudin berkata, CSP sentiasa aktif menyantuni pesakit kanser kerana tidak mahu penghidap penyakit tersebut dibiarkan bersendirian.
“Penghidap kanser ini ramai yang beranggapan nasib mereka sudah berakhir dan berputus asa. Peranan CSP ialah membantu para pesakit kanser termasuk memberi kata-kata semangat. Kita akan bantu sedaya yang mungkin dalam pelbagai cara,” katanya. – UTUSAN