Ajal juruteknik pulang bekerja - Utusan Malaysia

Ajal juruteknik pulang bekerja

Juruteknik
KEADAAN mangsa yang maut dalam kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perjalanan pulang seorang juruteknik kilang bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan dengan dua lori di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran Alam Budiman di sini, semalam.

Kejadian pukul 5 petang itu berlaku ketika lelaki berusia 42 tahun berkenaan menunggang motosikal dari arah Shah Alam menghala ke Sungai Buloh sebelum dilanggar sebuah lori dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan.

Katanya, ketika kejadian sebuah lori dipandu seorang lelaki tidak sempat menekan brek dan melanggar belakang motosikal yang datang mencelah dari kiri jalan tersebut.

“Rempuhan tersebut menyebabkan mangsa melanggar belakang sebuah lori di hadapannya. Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Shah Alam bagi bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Iqbal, semakan mendapati pemandu lori tiada rekod jenayah lampau dan ujian air kencing turut negatif dadah.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697 atau balai polis berdekatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya