AirAsia tawar 62 penerbangan tambahan sempena Aidilfitri

AirAsia tawar 62 penerbangan tambahan sempena Aidilfitri

ANTHONY Loke (kanan) pada Majlis Pengumuman Tambang Tetap AirAsia ke Sabah dan Sarawak di Airasia RedQ. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: AirAsia menawarkan 62 penerbangan tambahan pada tambang rendah tetap istimewa ke tujuh destinasi di Sabah dan Sarawak dengan tempahan bermula hari ini sehingga 30 April depan bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu menawarkan harga tiket pada RM199 dan RM249 sehala dari Semenanjung ke beberapa destinasi seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri serta Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau dengan 11,400 tempat duduk tambahan tersedia.

Selain itu, penumpang juga boleh membuat tempahan penerbangan dari Johor Bahru ke Miri, Sibu, Kuching dan Kota Kinabalu membabitkan perjalanan antara 19 hingga 21 April dan 28 hingga 30 April.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini adalah kali kedua beliau merasmikan tambang tetap khas AirAsia sempena musim perayaan pada tahun ini selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Saya difahamkan ada penerbangan khas pada waktu malam dan larut malam khususnya ke Sabah dan Sarawak dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru dengan kadar yang sama seperti Tahun Baharu Cina yang lepas.

“Saya berharap syarikat penerbangan lain turut menyambut seruan ini dengan menambah kapasiti penerbangan supaya sama-sama kita dapat memberikan peluang kepada rakyat untuk pulang ke kampung dan merayakan Aidilfitri akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman kadar tambang tetap AirAsia ke Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri di AirAsia RedQ di sini hari ini.

Menurut Loke, syarikat penerbangan memainkan peranan penting ketika musim perayaan untuk memastikan perkhidmatan tambahan dapat ditawarkan berikutan berlakunya peningkatan permintaan mendadak.

Ini kerana katanya, ramai penduduk dari Sabah dan Sarawak yang bekerja di sekitar Lembah Klang dan Johor, justeru tambang penerbangan pada harga berpatutan ketika musim perayaan dapat membantu meringankan beban mereka.

“Ini adalah satu isu atau aduan yang berlaku setiap kali menjelang musim perayaan, ramai yang mengeluh tambang penerbangan meningkat.

“Apa yang kita laksanakan adalah menggalakkan syarikat penerbangan menambah kapasiti mereka supaya penawaran itu dapat ditingkatkan bagi menampung permintaan supaya dapat harga yang lebih berpatutan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, AirAsia kekal komited untuk menghubungkan keluarga pelanggan pada tambang berpatutan terutamanya ketika musim perayaan, di mana lazimnya industri pelancongan menyaksikan kenaikan harga.

“Sebanyak 164 pesawat beroperasi pada peringkat kumpulan dan jumlah pesawat akan kembali kepada kapasiti penuh iaitu 229 pesawat dalam beberapa bulan akan datang, di mana kami akan dapat menerbangkan lebih ramai tetamu pada tambang bernilai hebat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya