Aida Khalida tetap laris tanpa kontroversi - Utusan Malaysia

Aida Khalida tetap laris tanpa kontroversi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN dalam dunia seni umpama sebuah sekolah yang mengajar pelakunya. Setiap kesalahan perlu dipelajari supaya kesilapan sama tidak berulang.

Cabaran dan onak berduri pasti menanti dalam menempuh ranjau kehidupan sebagai pelakon, ujar Aida Khalida, 65.

Selebriti popular yang pernah meniti zaman kemasyhuran suatu ketika dahulu, yakin setiap dugaan akan menjadikan seorang insan lebih kuat.

Pernah dikenali sebagai Aida Rahim dan Aida Radzwill, anak seni kelahiran Negeri Sembilan ini berkata, dia sentiasa meletakkan kebergantungan tinggi kepada Allah SWT.

“Saya selalu ingatkan diri yang Allah sentiasa ada setiap kali berdepan kesulitan.

“Sebelum ini, saya seakan mencari-cari sesuatu dalam kehidupan, rupa-rupanya baru saya sedar Allah yang saya cari selama ini,” katanya memulakan bicara.

Selebriti veteran ini menggunakan nama sebagai Aida Rahim pada 1980 sempena nama suaminya, kemudian pada 2003 dikenali sebagai Aida Radzwill selepas berkahwin dengan penyanyi Joe Radzwill. Sejak 2010, Aida mahu dikenali dengan nama sebenarnya, Aida Khalida.

JADI MODEL

Menceritakan keterlibatan dalam dunia lakonan, Aida berkata, pada mulanya dia bermula sebagai model peragaan bagi iklan komersial sekitar 1980.

Bertitik tolak dari situ, bakatnya mula dihidu sejak muncul di televisyen sehingga dirinya diminta hadir ke ujibakat drama.

“Mula-mula, saya banyak buat watak pembantu dan sejak hadir ujibakat terus diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama Sembang Mak Lang,” katanya.

Disoal sama ada selesa beralih bidang daripada dunia peragaan ke lakonan, pemilik nama lengkap Khalidah Adibah Ahmad terus terang tidak mempunyai sebarang masalah.

“Menjadi seorang model juga perlu buat lakonan, jadi saya tidak mempunyai masalah dan selesa beralih bidang ketika itu,” tuturnya.

Aida berkata, dia tidak mempunyai susur galur berdarah seni kerana dalam ahli keluarga, hanya dirinya sahaja yang menceburi bidang lakonan.

“Saya seorang sahaja yang berlakon daripada empat adik beradik dan anak sendiri pun tak ikut jejak langkah saya,” katanya.

Walaupun dilahirkan di Negeri Sembilan, namun Aida dibesarkan oleh datuk dan nenek di Kuala Lumpur.

Katanya, dia mendapat pendidikan di Sekolah Bukit Bintang yang sekarang berubah wajah menjadi pusat beli-belah terkenal, Pavilion.

RATU DRAMA

Sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan, Aida pernah dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-11 (FFM11) menerusi filem Rimba Malam.

Aida pernah dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik (Drama) buat Anugerah Skrin 1994 melalui telefilem Kerana Kau.

Pada tahun sama, Aida juga meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) untuk Anugerah Seri Angkasa menerusi drama Tak Ingat.

Berkongsi lakonan yang berbekas di hatinya, Aida berkata, sehingga sekarang masih ada peminat yang kerap menyebut tentang wataknya dalam drama Gerhana Hati Suraya yang pernah ditayangkan di TV3.

Ketika itu, katanya, dia digandingkan bersama pelakon, Nasir Bilal Khan sebagai pasangan suami isteri.

“Drama ini sangat tragis dan banyak bermain emosi sebab mengisahkan seorang suami yang tergamak membuang isteri dan tak bagi kebenaran berjumpa anak-anak.

“Sebagai pelakon, drama ini sangat mencabar kemampuan saya sebab banyak kali adegan perlu dirakam kembali.

“Saya tidak mudah mengalah dan berjanji kepada diri sendiri untuk berikan yang terbaik,” katanya.

Sebagai pelakon, sudah tentu dia berpuas hati kerana lakonan memberi impak kepada penonton.

Walaupun sering diberi watak ibu, Aida tak pernah merungut kerana sebagai pelakon, dia sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan karakter seorang ibu berdasarkan jalan cerita.

“Alhamdulillah, saya dapat yang baik, itu rezeki. Watak yang biasa diberi okey sahaja.

“Kadang-kadang kita nak bawa watak tersendiri dan perlu bincang dengan pengarah, kadang-kadang pengarah bagi input sebab kita terlepas pandang.

“Saya tak memilih, bila sudah terikat dengan sesuatu, saya sentiasa berusaha berikan yang terbaik.

“Begitu juga kebanyakan produksi yang saya terlibat, tak pernah menghalang saya untuk bersolat. Bila sudah dapat kelonggaran, saya perlu pandai selit waktu yang sesuai,” katanya.

Sepanjang berlakon, Aida kerap digandingkan bersama pelakon hebat lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Shaharuddin Tamby.

Sejak 1992, lebih 50 judul filem, telefilem dan drama sudah dibintanginya dan masih mendapat kepercayaan pihak produksi sehingga sekarang.

Terkini, Aida terlibat dalam drama Andai Itu Takdirnya yang disiarkan di saluran Astro Ria bermula esok.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya