JAKARTA: Penyanyi, Ahmad Dhani melarang keras vokalis kumpulan Dewa 19, Once Mekel menyanyikan lagu-lagu ciptaannya yang dibawakan kumpulan tersebut.
Larangan itu disuarakannya dengan alasan untuk mengelakkan sebarang gangguan terhadap kumpulan rock gergasi itu yang dalam perancangan untuk mengadakan konsert selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
“Dia boleh nyanyikan lagu-lagu saya yang dibawakan TRIAD, Ahmad Band atau Reza Artmevia. Yang dibawakan Dewa 19, tidak.
“Saya akan jelaskan dengan lebih terperinci nanti. Saya tidak mahu Once nyanyikan lagu Dewa 19 di konsert lain kerana tindakan itu akan menggangu Dewa dan pihak yang menyelenggarakan konsert Dewa kelak,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Ahmad Dhani, Ali Lubis memberi amaran Once bakal dikenakan tindakan undang-undang sekiranya gagal mematuhi larangan tersebut.
“Dia boleh didenda sehingga 500 juta rupiah (RM147,000) jika gagal mematuhi larangan tersebut,” ujarnya.