KUALA LUMPUR: Ahli politik tidak perlu campur tangan dalam perolehan aset ketenteraan kerana ia perlu diputuskan sendiri oleh pihak ketenteraan.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perolehan aset yang ada pada hari ini banyak yang mengikut kaedah perolehan dahulu, sekali gus ia perlu berubah supaya tidak menjejaskan kesiapsiagaan negara dalam aspek keupayaan.
“Ini sesuatu yang merunsingkan kita kerana keupayaan kesiapsiagaan kita, dengan masalah kapal, helikopter dan pesawat, semua bermasalah dan ini banyak terkait rapat dengan kaedah perolehan dulu.
“Saya sudah panggil semua ketua di Kementerian Pertahanan dan menyatakan kaedah perolehan harus berubah. Kalau mahu beli kapal, biarkan tentera laut memutuskan sendiri dan kalau kapal terbang, biar tentera udara.
“Tidak payahlah orang politik campur tangan, tidak payahlah banyak sangat ejen. Dia (pihak tentera) putuskan dan kita teliti, dipersetujui dan G2G (kerajaan kepada kerajaan), kita rundingkan dan ini akan menjimatkan kos dan menyelamatkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini. – UTUSAN