SHAH ALAM: Pelakon dan pengarah, Farid Kamil mempunyai bukti bergambar menyokong dakwaan kewujudan orang ketiga sebagai punca meretakkan hubungan rumah tangganya bersama Diana Danielle.
Namun jelas Farid, dia tidak akan menunjukkan bukti tersebut secara umum dan hanya mendedahkan gambar itu dalam mahkamah.
“Saya ada bukti bergambar. Namun, saya tak boleh tunjuk kepada umum sekarang. Saya akan dedahkan di mahkamah,” katanya.
Farid berkata demikian ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Gold arahan Adrian Teh di Stadium Malawati, di sini.
Dalam pada itu, pelakon Remp-It itu berkata, dia juga tidak akan terus menerus mengeluarkan sebarang kenyataan yang membuka aib isteri dan anak-anaknya, Aurora dan Muhammad.
“Saya tidak mahu bercakap hal isteri dan buka aib sesiapa. Saya ke mahkamah untuk menegakkan hukum-hakam agama Islam.
“Saya tak mahu mencetuskan apa-apa persepsi negatif yang boleh mengaibkan mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, Farid tetap meluahkan rasa syukur apabila kerjayanya terus menyinar biarpun dihimpit pelbagai kontroversi baru-baru ini.
“Di sebalik semua ujian ini, saya bersyukur kerana kerjaya dan kisah peribadi berjalan seiringan,” ujarnya.