GEORGE TOWN: Satu sindiket pengedaran dadah yang didalangi enam sekeluarga berjaya ditumpaskan polis dalam dua serbuan berasingan di Perai dan Jelutong, Sabtu lalu yang mana pelbagai jenis dadah bernilai RM128,912 turut dirampas.
Keenam-enam yang ditahan terdiri daripada lelaki berusia 57 tahun, isterinya wanita Indonesia berusia 45 tahun, dua anak mereka berusia 16 dan 22 tahun serta dua lagi saudara mereka masing-masing berusia 22 dan 64 tahun.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, lelaki berusia 57 tahun yang merupakan suspek utama itu ditahan bersama sejumlah dadah di kawasan Perai, dekat sini pukul 6 petang.
Ujar beliau, dipandu arah oleh suspek lelaki itu, polis menyerbu sebuah rumah kampung di Jelutong, di mana lima ahli keluarga suspek lelaki itu tinggal.
”Rumah ini didapati digunakan untuk menyimpan dan membungkus dadah berkenaan.
“Siasatan awal mendapati salah seorang ahli keluarganya menyedari kegiatan lelaki berkenaan dan kami masih menyiasat sama ada ahli keluarganya yang lain juga tahu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.
Menurutnya, semasa serbuan, kesemua lima ahli keluarga suspek berada di rumah dan hasil pemeriksaan di rumah itu, polis merampas syabu seberat 3,19 kilogram dan 1,400 biji pil yaba yang kesemuanya bernilai RM128,912.
Jelasnya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM59,000 dalam serbuan di rumah berkenaan dan jumlah rampasan termasuk dadah adalah sebanyak RM188,812.
”Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan mendapatkan bekalan daripada rangkaian sindiket dan kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 23,010 penagih,” katanya.
Tambahnya, suspek juga didapati membungkus semula dadah dalam kuantiti kecil sebelum dijual kepada pembeli di sekitar kawasan Seberang Perai.
”Keenam-enam suspek direman sehingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
”Ujian air kencing ke atas suspek lelaki utama didapati positif methamphetamine manakala yang lain negatif, malah dia juga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah,” katanya. – UTUSAN