55,000 permohonan 'kad pengenalan biru' sejak 2017 - Utusan Malaysia

55,000 permohonan ‘kad pengenalan biru’ sejak 2017

Pengenalan
SAIFUL Yazan Alwi menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada Tan Hou Thong sambil disaksikan Khairrul Aminus Kamaruddin (kiri) ketika menziarahi rumahnya pada Program Mekar Bersama Penduduk Pulau Ketam di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Perkahwinan tidak teratur terutama melibatkan pasangan warga asing yang turut disumbang oleh kesedaran terhadap dokumentasi pengenalan diri antara faktor berlaku lambakan permohonan kewarganegaraan di negara ini.

Sejak 2017, kira-kira 55,000 permohonan masih belum diberikan keputusan sama ada diluluskan untuk mendapat status warganegara atau ditolak berdasarkan perkara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Saiful Yazan Alwi, memaklumkan JPN akan membantu menyelesaikan permohonan tersebut sejajar dengan harapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mahu selesaikan 10,000 permohonan menjelang akhir tahun ini.

“Isu kewarganegaraan khasnya yang jauh macam di Pulau Ketam adalah hendak daftar tetapi ada masalah bahasa, pengangkutan dan pengetahuan. Mereka meletakkan alasan selagi tiada urusan dengan kerajaan yang tidak memerlukan dokumen, mereka akan rasa tidak penting.

“Bila sudah sampai masa perlukan bantuan, bila tanya mana kad pengenalan, barulah mereka nampak ada kepentingan. Jadi, orang macam ini kita akan cuba bantu berikan pengetahuan dan sebagainya.

“Kita juga ada SOP, bukan maksudnya mohon sahaja terus lulus, perlu memenuhi beberapa syarat ditetapkan sebelum diputuskan oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya ditemui selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Bersama Penduduk Pulau Ketam, hari ini.

Terdahulu, di Parlimen, Saifuddin Nasution memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyasar untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan pada tahun ini,

Beliau menjelaskan, sejak memegang jawatan menteri pada awal Disember tahun lalu, keputusan bagi 4,294 permohonan sudah dibuat dengan 67 peratus permohonan diluluskan, manakala bakinya ditolak.

Dalam pada itu, Saiful Yazan memaklumkan sejak 2019 hingga tahun lalu, sebanyak 80,389 permohonan dokumen pengenalan diri dari seluruh negara diterima melalui Program Mekar melibatkan penyelesaian kepada masalah kesukaran untuk akses ke cawangan pejabat JPN.

Dalam tempoh tersebut, tahun 2019 menunjukkan permintaan tertinggi direkodkan apabila Program Mekar JPN menerima 28,930 permohonan dan angka tersebut menurun kepada 12,621 pada 2020 dan 10,438 (2021) berikutan pandemik Covid-19 dan kembali meningkat pada 2022 (28,400).

“Mekar wujud sejak 2002 dan pernah digunakan nama seperti ‘Turun Padang’, ‘Outreach’, ‘Mobile’ dan yang terkini sejak 2019 kita panggil ‘Mekar’.

“Sudah 20 tahun, tetapi pemerkasaan melalui Mekar kita ada bas. Pada setiap program kita bawa bas dan boleh cetak terus dokumen pengenalan dalam masa 30 minit, macam pejabat bergerak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah JPN Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin memberitahu, Program Mekar di Pulau Ketam adalah pertama kali dilaksanakan dan akan diperluaskan di tempat lain seperti Sabak Bernam, Gombak dan Pulau Carey. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya