GEORGE TOWN: Seramai lima nelayan warga Myanmar termasuk seorang tekong bot ditahan bersama 500 kilogram (kg) hasil laut dalam Op Pertiwi dan Op Tanjung oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, kira-kira 27 batu nautika dari barat laut Pulau Kendi, dekat sini pukul 8.55 pagi semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat susulan pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang ketika itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.
Hasil pemeriksaan lanjut, katanya, kesemua yang ditahan itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kelulusan penggunaan kru bukan warga tempatan yang sah.
Ujarnya, kesemua tangkapan berusia antara 20 hingga 35 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Pada masa sama, pemilik bot juga disyaki telah melakukan kesalahan kerana membenarkan warga asing tinggal dalam bot kepunyaannya dan gagal memasang alat pengesan vesel (VMS).
“Pemilik bot juga didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran serta gagal memasang VMS,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, ujar beliau, hasil laut yang dirampas itu turut dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Pulau Pinang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, beliau memberitahu, masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil dengan menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot walaupun amaran telah diberikan dan beberapa tangkapan telah dilaksanakan.
Dalam hal ini, katanya, Maritim Malaysia khususnya di Pulau Pinang tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.
“Untuk sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” ujarnya. – UTUSAN