KANGAR: Seramai 45 orang graduan Pusat Latihan Bertauliah Wahyuni Spa menerima penempatan pekerjaan yang menawarkan latihan terapi spa tahap tiga menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Wahyuni Spa telah didaftarkan sebagai pusat bertauliah SLDN sejak tahun 2016 bagi melaksanakan sistem latihan bekerja sambil belajar buat penuntutnya.
Pengasas Wahyuni Spa, Azrina Ibrahim berkata, penempatan graduan itu dilaksanakan menerusi kolaborasi bersama beberapa agensi berkaitan antaranya Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pihak Berkuasa Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA).
“Sistem Latihan Dual Nasional adalah sistem latihan bekerja sambil belajar dan masa yang sama akan diserap masuk bekerja terus di industri terlibat seperti di Perlis ditawarkan bidang kesihatan serta kecantikan,” katanya selepas Majlis Konvokesyen Graduasi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan SKM-PPT & DKM-PPT Perlis di Hotel Seri Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat bagi melancarkan majlis berkenaan.
Selain itu, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen turut berkenan bagi menyampaikan sijil kepada graduan di majlis konvokesyen itu yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Sebagai rekod, SLDN telah dilaksanakan sejak tahun 2005 dan berperanan melatih tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan penumpuan dalam pekerjaan yang dinamik bersesuaian perubahan teknologi.-UTUSAN