44,804 penolong pegawai perubatan diperlukan menjelang 2025

44,804 penolong pegawai perubatan diperlukan menjelang 2025

LUKANISMAN Awang Sauni beramah mesra bersama pembantu perubatan selepas Majlis Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 44,804 penolong pegawai perubatan (PPP) diperlukan menjelang 2025 berdasarkan unjuran bilangan penduduk Malaysia seramai 36 juta orang pada tahun tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, ini memberi gambaran bahawa sistem perkhidmatan kesihatan memerlukan pertambahan jawatan sebanyak 20,945 dengan keperluan dari 2022 hingga 2025 adalah seramai 3,142 jawatan setahun.

Menurutnya, ketika ini bilangan PPP di seluruh negara berjumlah 23,329 orang dengan nisbah 1:1,400 berbanding populasi penduduk dan seramai 18,438 PPP berkhidmat di Kementerian Kesihatan (KKM) sementara 4,891 orang berada di sektor swasta.

“Kekurangan PPP menyebabkan peningkatan beban kerja, PPP sedia ada bekerja lebih masa dan secara tidak langsung boleh menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“KKM berbincang tentang hala tuju dan pertambahan pegawai adalah bergantung kepada peruntukan diluluskan Kementerian Kewangan (MOF) dan perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan MOF sentiasa berterusan bagi memastikan isu perjawatan tetap dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Hari Pembantu Perubatan Ke-12 Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 dengan tema Bakti Mulia: Profesion Diperkasa Masyarakat Sejahtera di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lukanisman berkata, bilangan PPP yang memiliki ijazah juga masih kecil iaitu kurang daripada 10 peratus dan jumlah tersebut masih jauh daripada sasaran yang ditetapkan.

Jelasnya, plan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan mensasarkan sebanyak 75 peratus PPP memiliki ijazah pertama menjelang tahun 2030.

“Peningkatan tahap pendidikan akan berupaya meningkatkan tahap pengetahuan dan kompetensi sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Justeru, beberapa sesi libat urus diadakan antara Cawangan Perkhidmatan PPP dan Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia dengan beberapa universiti awam dan swasta untuk membuka lebih banyak program ijazah pertama bagi PPP,” ujarnya.

Katanya, ketika ini, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menjalankan program khusus di peringkat ijazah bagi PPP.

Pada majlis sama, turut berlangsung sesi penyampaian Anugerah Sinar Permata yang diterima Ketua Penyelia PPP Hospital Ampang, Musa Abdul Ghani; Anugerah PPP Harapan diterima oleh M. Kuyilan dari Hospital Putrajaya manakala Anugerah Tokoh PPP diterima Abdul Karim Mustafa dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya