PUTRAJAYA: Sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak dikenal pasti terjejas susulan hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir sekali gus menjejaskan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan memaklumkan, ekoran itu, seramai 431 calon terkandas dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan berhampiran.
“KPM melalui Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut,” katanya hari ini.
Menurut KPM, daripada 17 pusat peperiksaan terjejas itu, sebanyak tujuh daripadanya tidak dapat dibuka semula disebabkan terputus hubungan dan jalan raya gagal dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Bagaimanapun, katanya, seramai 195 calon terkesan di Johor dan Pahang berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.
Jelas KPM, pihaknya sentiasa cakna dengan situasi semasa dan siap siaga dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2022 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.
“Pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001,” jelasnya.
Pada masa sama, KPM turut mengingatkan semua calon turut memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan.
Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP serta JPN di seluruh negara dan Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.
“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung. KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” katanya. – UTUSAN