KUALA NERUS: Seramai 400 sukarelawan daripada pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu menyertai misi bantuan mangsa banjir di Johor bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sukarelawan tersebut digerakkan untuk membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas teruk dalam kejadian banjir tersebut.
Selain itu, menurutnya, mereka juga akan membawa sumbangan pelbagai jenis barangan makanan dan keperluan untuk diagihkan keopada mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana itu.
Katanya, antara barangan yang akan dihantar termasuk makanan, air mineral, kelengkapan diri dan tilam yang keseluruhannya bernilai RM200,000.
“Semalam, kita telah membuat pelepasan misi bantuan ke kawasan Segamat, Simpang Renggam dan beberapa laluan lain yang boleh dimasuki dari Terengganu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, misi bantuan tersebut juga bukan kali pertama dilancarkan sebaliknya telah menghantar beberapa misi yang sama ke beberapa buah negeri sebelum ini.
“Ianya juga simbol keprihatinan kerajaan negeri dengan musibah yang melanda serta mengekalkan hubungan baik antara dua Menteri Besar sekaligus memanfaatkan rakyat,” katanya.
Setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 45,058 mangsa banjir masih berada di 186 pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Batu Pahat, Muar dan Tangkak. – UTUSAN