Seramai 400 sukarelawan daripada pelbagai persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Terengganu menyertai misi bantuan mangsa banjir di Johor bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sukarelawan tersebut digerakkan untuk membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terjejas teruk dalam kejadian banjir tersebut.
Selain itu, menurutnya, mereka juga akan membawa sumbangan pelbagai jenis barangan makanan dan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana itu.
Katanya, antara barangan yang akan dihantar termasuk makanan, air mineral, kelengkapan diri dan tilam yang keseluruhannya bernilai RM200,000.
“Semalam, kita telah membuat pelepasan misi bantuan ke kawasan Segamat, Simpang Renggam dan beberapa laluan lain yang boleh dimasuki dari Terengganu,” katanya di Kuala Terengganu semalam.
Beliau memberitahu, misi bantuan tersebut juga bukan kali pertama dilancarkan sebaliknya menghantar beberapa misi yang sama ke beberapa buah negeri sebelum ini.
SEBAHAGIAN sukarelawan dari Terengganu yang akan menyertai misi bantuan banjir di Johor. –utusan