PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memutuskan tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya bagi mengisi kekosongan luar jangka empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia memandangkan DUN Pulau Pinang akan terbubar dalam tempoh kurang dari dua tahun mengambil kira proviso di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang,
Beliau memberitahu, SPR menerima pemakluman daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berhubung status kekosongan luar jangka empat kerusi DUN negeri itu.
“Pemakluman itu diterima melalui surat bertarikh semalam selepas usul pengisytiharan kekosongan di bawah perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Senarai kerusi dan ahli DUN yang terlibat adalah Seberang Jaya (N10) – Dr. Afif Bahardin; Sungai Acheh (N21) – Zulkifli Ibrahim; Bertam (N2) – Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan Telok Bahang (N40) – Zolkifly Md. Lazim.
Semalam, empat ADUN pembangkang Pulau Pinang itu diarah keluar meninggalkan sidang DUN selepas usul pengosongan kerusi disandang mereka diluluskan sidang DUN.
Terdahulu, usul Pengisytiharan Kekosongan Kerusi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di bawah Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang itu dicadangkan Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PKR-Pinang Tunggal) dan disokong Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat).
Ini selepas mengambil kira kepentingan usul tersebut yang berkaitan dengan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang serta berikutan keputusan mahkamah berkenaan enakmen anti lompat parti pada 2 Mac lalu. – UTUSAN