PETALING JAYA : Kira-kira 3,750 klien telah menggunakan perkhidmatan Pasukan Rawatan Pemulihan Bergerak (MRT AADK) sejak dilancarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di seluruh negara pada 19 Mei tahun lalu.
Jumlah ini sekali gus telah melepasi sasaran awal iaitu seramai 1,427 klien.
Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, kemudahan itu bukan sahaja dapat dimanfaat oleh klien AADK yang berada di daerah dan institusi tetapi merangkumi Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Kata beliau, pihaknya berharap dengan pertambahan ahli baharu yang dipanggil kumpulan pakar pasukan MRT AADK akan terus melebarkan sayap dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat pada tahun ini.
“Ahli-ahli ini akan diperluas untuk membantu memberikan perkhidmatan di Sabah dan Sarawak memandangkan dua negeri itu mempunyai jumlah daerah yang banyak dan klien yang terpecah dalam radius yang besar.
“Justeru, ia memerlukan lebih tenaga bagi mengumpulkan perkhidmatan ini dan ahli-ahli akan diberi keutamaan kepada mereka yang pernah berkhdimat di Borneo atau berasal dari sana.”
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Penyelarasan Pelaksanaan MRT AADK Bilangan 1/2023 semalam.
Hadir sama iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Chan Hong Jin; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Muhamad Sade Mohamad Amin; Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah Bahagian Pencegahan, Zainuddin Abdullah dan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan, Azmi Mustafa.
Dalam pada itu, Sutekno berkata, pengarah-pengarah AADK negeri dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) perlu menyelaras dan memantau pasukan MRT AADK negeri masing-masing untuk memastikan perkhidmatan dapat dilaksanakan lebih sistematik, menyeluruh dan efisen. –utusan