36 pemilik premis, pengendali makanan di Perak dikenakan notis - Utusan Malaysia

36 pemilik premis, pengendali makanan di Perak dikenakan notis

A. SIVANESAN (kanan) mengambil sampel makanan untuk dianalisis pada pelancaran Op Ramadan di Bazar Ramadan Tapah semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sebanyak 36 notis di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan di Perak sepanjang minggu pertama Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, A. Sivanesan berkata, notis kompaun berjumlah RM9,000 itu dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas lebih 1,393 buah premis.

“Bagi pengendali makanan, kesalahan yang dilakukan adalah di bawah Peraturan 30, 31, 32 dan 33 Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Kesalahan di bawah peraturan itu adalah termasuk tidak menghadiri latihan pengendali makanan, tidak mendapatkan suntikan anti tifoid, tidak memenuhi etika pakaian pengendali makanan dan kebersihan diri.

“Bagi pemilik premis pula, Peraturan 34 dikenakan apabila gagal memastikan premis dalam keadaan bersih,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Op Ramadan Peringkat Negeri Perak 2023 di Bazar Ramadan Tapah di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim.

Menurut beliau, sebanyak 60 sampel makanan sedia dimakan juga diambil pada minggu pertama Ramadan dan telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam di Ipoh bagi tujuan analisis mikrobiologi.

Katanya, sampel yang diambil termasuk kuih-muih, pasta, minuman, nasi dan lauk-pauk.

“Setakat ini, keputusan bagi kesemua sampel itu masih belum diterima, mungkin mengambil masa antara seminggu hingga 14 hari.

“Selain mengambil sampel semasa operasi di bazar Ramadan dan premis, kita juga akan ambil sampel makanan disyaki tercemar sekiranya terdapat aduan,” katanya.

Dalam pada itu Sivanesan berkata, pihaknya juga menerusi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menyasarkan untuk memeriksa kesemua 5,352 gerai di bazar Ramadan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Sebanyak 264 sampel makanan akan diambil untuk analisis makmal bagi parameter kimia dan mikrobiologi,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya