36 dari 437 projek perumahan sakit berjaya dipulih

36 dari 437 projek perumahan sakit berjaya dipulih

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir (tiga kanan) ketika mengadakan Lawatan Kerja ke Tapak Projek Aspire Residence di Cyberjaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Sebanyak 437 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai sakit dikenal pasti Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) daripada keseluruhan 3,138 projek swasta berlesen setakat 31 Januari lalu.

Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 53 projek sakit hanya dalam tempoh sebulan selepas merekodkan 384 projek setakat 31 Disember tahun lalu.

“Walaupun terdapat peningkatan projek sakit secara keseluruhan, tetapi sebanyak 33 projek membabitkan 3,045 unit rumah berjaya diselesaikan sehingga menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan tiga projek sakit (674 unit) dipantau dengan rapi sehingga dikategorikan sebagai projek lancar.

“Ini merupakan pencapaian yang baik susulan penubuhan pasukan petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai pada 30 Disember tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja bagi melihat sendiri status terkini projek kediaman Aspire Residence, di sini hari ini.

Beliau yang turut mengemudi pasukan petugas itu berkata, setakat penghujung Januari lalu, sebanyak 115 projek perumahan terbengkalai dikenal pasti.

Katanya, berdasarkan status semasa, projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai lewat pula dijangka terus meningkat sebanyak 188 projek pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 354 projek.

Jelasnya lagi, mengikut unjuran yang dilakukan bagi projek perumahan sakit, ia dijangka bertambah sehingga 101 projek menjadikan keseluruhan projek sakit bagi tempoh sehingga 31 Disember 2023 sebanyak 538 projek.

“Data bagi projek perumahan lancar, lewat dan sakit adalah data yang dinamik dan akan sentiasa berubah dari semasa ke semasa berdasarkan status projek, situasi semasa ekonomi pasca pandemik Covid-19, pasaran industri perumahan secara keseluruhan serta intervensi yang dilaksanakan kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai projek Aspire Residence, Akmal memaklumkan projek berkenaan tidak lagi dikategorikan sebagai projek sakit kerana status pembinaannya sudah mencapai tahap 90 peratus sehingga hari ini dengan jangkaan penyerahan kunci pada September depan.

Menurutnya, projek yang bermula pada tahun 2016 itu sepatutnya disiapkan pada 2019, namun tergendala sebelum disambung semula pembinaannya tahun lalu oleh syarikat kontraktor baharu.

“Memang ada perubahan besar yang dibuat termasuk penukaran kontraktor utama untuk menyegerakan projek yang sudah lewat ini. Lawatan hari ini adalah menilai kemajuan projek dan kita mengambil kira rintihan para pembeli yang mahu melihat projek ini dapat dipulihkan sebaik mungkin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya