30 warga asing tiada dokumen sah ditahan - Utusan Malaysia

30 warga asing tiada dokumen sah ditahan

SEBAHAGIAN daripada pendatang asing warga Myanmar yang ditahan dalam serbuan Op Pintu di Ipoh, semalam. - UTUSAN/IHSAN JIM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 30 warga asing ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam serbuan di sebuah premis rumah kedai di Jalan Raja Musa Aziz di sini semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Hapdzan Husaini berkata, pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan terdiri daripada 26 lelaki dan empat wanita warga Myanmar berusia antara 18 hingga 45 tahun.

Katanya, turut ditangkap seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai penjaga premis berkenaan bersama wang tunai berjumlah RM40,000.

“Operasi di kawasan premis perniagaan itu dijalankan selama dua jam bermula pukul 7.30 malam. Premis itu dipercayai dijadikan lokasi transit bagi PATI yang diseludup oleh sindiket penyeludupan sebelum diserahkan kepada majikan.

“Siasatan mendapati hampir separuh warga asing yang ditahan itu baru memasuki negara melalui sempadan Malaysia-Thailand tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika serbuan melalui Op Pintu dijalankan, pihaknya terpaksa mengumpil pintu masuk premis kerana penghuni enggan membuka pintu setelah diminta beberapa kali oleh pegawai serbuan.

Katanya, kehadiran pasukan operasi di lokasi menyebabkan mereka bertempiaran lari cuba bersembunyi di belakang pintu, tandas dan bumbung rumah.

“Bagaimanapun, kesemua mereka gagal meloloskan diri kerana kecekapan pasukan operasi yang berjaya menutup semua ruang dengan mengepung premis berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, dalam serbuan itu, pihaknya merampas beberapa pasport asing dalam simpanan penjaga premis berkenaan.

“Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu memasuki dan berada di Malaysia tanpa sebarang pas yang sah, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Pasport 1966,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya