3 Naib Presiden UMNO diberi tugas khas - Utusan Malaysia

3 Naib Presiden UMNO diberi tugas khas

AHMAD Zahid Hamidi bergambar bersama barisan kepimpinan tertinggi UMNO yang baharu selepas penangguhan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi, Kewangan dan Pelaburan parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam untuk melantik Naib-Naib Presiden sebagai pengerusi majlis.

Menurut beliau, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dilantik Pengerusi Majlis Pengkaderan Latihan dan Keahlian manakala Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundangan dan Perlembagaan.

Selain itu katanya, mesyuarat juga bersetuju melantik Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Setiausaha Agung UMNO; Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Bendahari) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (Ketua Penerangan).

Jelas beliau, mesyuarat turut melantik seramai 13 Ahli MKT (Lantikan) dan tujuh Ahli MKT (Turut Hadir).

“Kami telah sebulat suara mengambil keputusan bahawa kita berazam terus memperkasa perpaduan dan penyatuan dalam saf kepimpinan UMNO di semua peringkat.

“Jadi dengan pelantikan ini kami berazam untuk menterjemahkan lima hala tuju yang telah saya garis ketika membentangkan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu di mana kita telah memberikan penugasan ini kepada beberapa ahli majlis dan ketua sekretariat,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, apa yang palng penting adalah untuk membuktikan kepimpinan ketika ini dapat bergerak bersama apabila menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai Pengarah Pilihan Raya untuk semua pilihan raya umum akan datang, PRN dan Piljhan Raya Kecil (PRK).

“Ketua jabatan pilihan raya iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan berada di ibu pejabat untuk mengetuai semua gerak kerja dan menyelaras dengan Timbalan Presiden (Mohamad) dan ketua pergerakan sayap.

“Kita berazam untuk mengubah jentera pilihan raya ke arah pendigitalan dan ini akan kita umumkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya