PETALING JAYA: Seramai 27 penyelidik menerima geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0 pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd. Amin berkata, sebanyak 27 kertas cadangan MPDP 2.0 dipilih daripada sejumlah 254 kertas cadangan yang dikemukakan 29 buah institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) dalam bidang tumpuan tertentu.
“Senarai penerima geran MPDP 2.0 yang terpilih telah diluluskan dan dimuktamadkan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah MASA,” katanya dalam satu kenyataan.
Geran penyelidikan itu terbuka kepada badan pemikir, para penyelidik dan ahli akademia dari IPTA dan IPTS.
Azril berkata, mereka yang berjaya menerima geran penyelidikan bernilai RM10,000 untuk kertas ringkasan polisi yang dihasilkan.
“Semoga hasil penyelidikan MPDP 2.0 ini dapat memperkukuh misi dan visi MASA dalam mempromosikan gagasan kemakmuran bersama bagi manfaat seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat sejagat,” katanya.
Mereka yang berminat perlu mengemukakan kertas cadangan penyelidikan mengikut kategori dan tema terpilih bersandarkan kepada lapan-lapan fokus utama sebagai persediaan dalam menangani cabaran kemelesetan ekonomi 2023 dan tahun-tahun akan datang. – UTUSAN