229,861 murid, pelajar mula sesi persekolahan di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

229,861 murid, pelajar mula sesi persekolahan di Pulau Pinang

ABDUL RASHID Abdul Samad bersama-sama para guru dan pelajar sewaktu meninjau hari pertama sesi baharu persekolahan Kalendar Akademik 2023-2024 di SMKA(P) Al-Mashoor, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sejumlah 229,861 murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik 2023-2024 di 398 buah sekolah seluruh Pulau Pinang hari ini.

Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu, seramai 128,480 orang terdiri daripada murid sekolah rendah peringkat darjah satu hingga darjah enam.

“Bagi tahun ini juga, sebanyak 19,862 murid darjah satu memulakan persekolahan dan kita berharap mereka memasuki alam persekolahan dengan penuh ceria dan memberi makna kepada mereka.

“Ini kerana pada minggu pertama sesi akademik kali ini, sesi pembelajaran dimulakan dengan pelbagai aktiviti yang dipenuhi elemen-elemen didik hibur bagi memastikan murid dan pelajar berasa seronok ke sekolah,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al- Mashoor, di sini hari ini.

Menurutnya, antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan pada minggu pertama sesi persekolahan kali ini ialah aktiviti riadah, sukan dan sebagainya yang berkonsepkan didik hibur.

Jelasnya, pelajar dan murid yang memasuki alam persekolahan hari ini akan dilatih menjadi insan cemerlang dan memiliki sahsiah yang baik.

“Kita mahu murid dan pelajar melalui proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan minda yang seronok kerana mereka berada di sekolah kira-kira lapan jam sehari.

“Kita tidak dapat bayangkan sekiranya dalam tempoh lapan jam itu, mereka berada di sekolah dengan jiwa tidak tenteram dan ketakutan,” katanya.

Tambah beliau, pada minggu pertama ini juga, para guru boleh menentukan kaedah PdP yang sesuai serta mengandungi elemen didik hibur kepada murid serta pelajar masing-masing.

“Para guru boleh membawa anak didik mereka untuk belajar sama ada di dalam atau di luar kelas,” katanya.

Tambahnya, pada minggu pertama ini juga, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta waris pelajar dan murid digalakkan untuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pihak sekolah.

“Ibu bapa bagi murid darjah satu serta Tingkatan Satu juga digalakkan untuk berjumpa dengan para guru bagi memahami bagaimana proses pembelajaran dijalankan di sekolah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya