2 bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI sebagai kru - Utusan Malaysia

2 bot nelayan tempatan ditahan gajikan PATI sebagai kru

DUA buah bot nelayan tempatan di tahan Maritim Malaysia di perairan Pulau Pinang semalam selepas didapati menggajikan PATI sebagai kru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan kelas C semalam kerana melanggar syarat lesen dengan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, dua penahanan itu dibuat bot dan kapal Maritim Malaysia ketika dalam rondaan rutin kira-kira pukul 6 petang dan 9.20 malam.

Katanya, penahanan pertama dilakukan selepas pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 27.7 kilometer Barat Daya Pulau Kendi.

Jelas beliau, bot yang berpangkalan di Panchur, Perak itu dikendalikan oleh seorang tekong dan seorang kru warga Myanmar serta seorang lagi kru warga Thailand.

”Kesemua mereka berumur antara 24 hingga 30 tahun dan seorang kru bot didapati gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penahanan kedua dilakukan ke atas bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 52.2 kilometer Barat Laut Muka Head.

”Bot ini yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak dikendalikan oleh lima kru warga Myanmar berumur antara 25 hingga 41 tahun yang mana kesemuanya gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua penahanan itu dibuat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen di mana pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

”Kesemua kru ditahan bersama 1,500 kilogram hasil laut dari kedua-dua bot dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban dan Jeti Limbungan Batu Maung untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggajikan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran dan tangkapan telah dibuat.

Tegasnya, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

”Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya