SHAH ALAM: Kira-kira 2.5 juta pengunjung dijangka membanjiri Festival Ramadan Selangor 2023 atau FESTIRA’23 yang berlangsung selama 48 hari di bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Real Estate Sdn. Bhd. (PREC).
Festival yang bermula 5 Mac hingga 21 April ini akan melibatkan Plaza PKNS Shah Alam dan Bangi serta SACC Mall di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab. Ghani berkata, sasaran pengunjung itu susulan momentum perbelanjaan dengan orang ramai mempunyai banyak kecairan wang termasuk bonus dan gaji pendahuluan.
“‘Mood’ perayaan pasca pandemik juga akan merancakkan suasana pembelian tersebut. Kita optimis FESTIRA’23 tahun ini akan semeriah dengan jumlah 2.5juta pengunjung adalah angka yang pernah kita dapat sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MBSB Bank Berhad hari ini.
Justeru, Fakru Radzi memaklumkan penyertaan peniaga juga menggalakkan dengan 1,000 akan menyewa tapak niaga di tiga bangunan milik PREC.
Tambahnya, harga sewaan tapak adalah bermula RM1,000 hingga RM15,000 sepanjang festival tersebut dan bergantung kepada lokasi tempat niaga.
“Sebelum ini, kita hanya ada dalam 700 peniaga, tetapi ia meningkat pada tahun ini kerana masih ada peniaga luar yang ingin memahukan tapak niaga dalam ekosistem kita sehingga kini.
“Dari segi penyediaan tapak adalah 50 peratus di kompleks PKNS Shah Alam dan 30 peratus di SACC Mall dan selebihnya PKNS Bangi,” ujarnya. – UTUSAN