PETALING JAYA: Sebanyak 18 kematian daripada 58 kes membabitkan pengambilan ikan buntal dilaporkan sejak 1985 hingga Mac ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, larangan khusus mengenai penjualan ikan buntal sudah ditetapkan seperti mana mengikut Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972.
Menurut beliau, sebarang makanan yang mengdungi racun dan berbahaya untuk kesihatan tidak boleh dijual.
“Seksyen 13 Akta Makanan 1983 juga menerangkan dengan jelas mengenai larangan jalan penjualan apa-apa makanan yang mengandungi atau di atasnya terdapat apa-apa bahan beracun, berbahaya atau sebaliknya memudaratkan kesihatan.
“Oleh itu, ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang wanita warga emas maut, manakala suaminya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang akibat keracunan makanan selepas memakan ikan buntal.
Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD) sudah menyediakan pelbagai bahan pendidikan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai toksin berbahaya terkandung di dalam ikan buntal.
Walau bagaimanapun, jelasnya kementeriannya kan terus memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai keselamatan makanan termasuk bahaya sekiranya mengambil ikan buntal sebagai makanan.
“Tinjauan yang dilakukan oleh FSQD pada 2019 menunjukkan sebanyak 86 peratus daripada responden yang terdiri daripada orang awam, penjual ikan, nelayan dan tukang masak tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi terhadap bahayanya pengambilan ikan buntal,” jelasnya.- utusan