18 inisiatif kewangan bantu murid, pelajar sekolah terjejas - Utusan Malaysia

18 inisiatif kewangan bantu murid, pelajar sekolah terjejas

FADHLINA SIDEK ketika merasmikan program 'Back to School' anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 18 inisiatif kewangan telah disediakan oleh Kementerian Pendidikan bagi membantu murid serta pelajar sekolah yang terkesan apabila sesi persekolahan baharu bermula nanti.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, nilai bantuan itu bagaimanapun pelbagai dan berbeza mengikut keperluan.

Katanya, sebaik sahaja sesi persekolahan dibuka, permohonan untuk mendapatkan bantuan itu boleh dikemukakan kepada pihak sekolah, Jabatan Pendidikan negeri (JPN) atau pejabat pendidikan daerah (PPD) masing-masing untuk dipertimbangkan.

“Sebab itu kita ada sehingga 18 inisiatif (kewangan) kerana tidak semua anak-anak itu sama keperluannya.

“Jadi, kita akan lihat bantuan yang dimohon oleh anak-anak ini (terlebih dahulu).

“Apa yang penting kumpulan murid serta pelajar sekolah yang terjejas itu boleh meneruskan sesi pembelajaran di sekolah masing-masing tanpa dibelenggu sebarang masalah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program ‘Back to School’ anjuran Persatuan Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan) di Mydin Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Hampir 100 kanak-kanak termasuk pesakit kanser terlibat secara keseluruhannya dalam program itu yang diadakan hampir setiap tahun sejak beberapa tahun lalu.

Dalam pada itu, Fadhlina memberitahu, kementeriannya sentiasa menyokong perkembangan kanak-kanak yang menghidap kanser dan akan memastikan kesemua mereka mendapat akses pendidikan yang mencukupi.

“Di sekolah-sekolah ketika ini memang sudah ada kelas pendidikan khas dan ada di antara mereka (pelajar yang menghidap kanser) ini cemerlang.

“Sebenarnya, tidak ada masalah juga untuk mereka mengikuti kelas biasa. Cuma, ia perlu mendapat sokongan sepenuhnya (daripada semua pihak).

“Sebagai contoh, pergi ke hospital untuk dapatkan rawatan kimoterapi dahulu dan sebagainya dan kita akan bagi sokongan (kepada mana-mana murid atau pelajar) yang tertinggal,” katanya yang juga tidak mahu kanak-kanak tersebut dipinggirkan dari segi pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya