14,000 perwakilan UMNO di Selangor mengundi - Utusan Malaysia

14,000 perwakilan UMNO di Selangor mengundi

UMNO Selangor
DARI kiri Abdul Rahman Bakri, Rizam Ismail, Mohd. Khir Toyo, Jamal Md. Yunos, Azhari Shaari dan Ahmad Mua’adzam Shah masing-masing bertanding untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian di Sabak Bernam, Sungai Besar dan Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira 14,000 perwakilan di kesemua 22 UMNO Bahagian di Selangor mengundi dalam pemilihan parti itu di peringkat bahagian dalam pelbagai jawatan dan seterusnya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di pusat.

Antara bahagian yang menjadi tumpuan bagi Badan Perhubungan UMNO negeri ini adalah Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang dan Shah Alam apabila kawasan berkenaan melibatkan pertembungan calon heavyweight.

Di Sabak Bernam, seramai 454 perwakilan dari 67 cawangan mula mengundi pada tengah hari tadi bagi semua peringkat, bagaimanapun empat jawatan iaitu Timbalan Ketua, Naib Ketua, Pengerusi Tetap dan timbalannya menang tanpa bertanding.

Pemilihan di sana menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail dan penyandang Ketua Bahagian, Datuk Dr. Abdul Rahman Bakri untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian.

Sementara di Sungai Besar, kawasan yang menyaksikan pertembungan dua calon heavyweight, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohd. Khir Toyo juga masih dalam peringkat mengundi.

Mesyuaratnya yang bermula kira-kira pukul 9.15 pagi tadi menyaksikan kehadiran 630 perwakilan dari 113 cawangan akan mengundi untuk pemilihan dalam semua jawatan dipertandingkan.

UMNO Bahagian Tanjong Karang turut mencuri perhatian selepas bekas Ketua Bahagiannya, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti pada 27 Januari lalu.

Difahamkan, 574 perwakilan dari 97 cawangan akan membuat pemilihan untuk menentukan pemenang jawatan Ketua Bahagian dalam pertandingan dua penjuru yang mana salah seorangnya dipercayai berada dalam kem bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu.

Di Shah Alam, penyandang Ketua Bahagiannya, Datuk Azhari Shaari yang berdepan tindakan mahkamah atas pertuduhan menyeleweng dana berjumlah RM440,000 dicabar bekas Ketua Pemuda bahagian yang juga calon PRU14 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’akop.

Kedudukan mereka akan ditentukan oleh 611 perwakilan dari 89 cawangan yang akan mula mengundi pada pukul 3 petang ini sementara mesyuaratnya bermula kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

Sehingga kini, tiada keputusan awal diperoleh apabila kesemua 20 bahagian masih di peringkat mengundi, bagaimanapun, dua ketua bahagian sebelum ini dilaporkan menang tanpa bertanding iaitu Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz di Kota Raja dan Datuk Johan Abd. Aziz di Hulu Langat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya