PETALING JAYA: Selepas sekian lama menanti, akhirnya filem Rajah yang mengangkat sejarah Rajah Putih pertama Sarawak, Sir James Brooke (1803-1868) bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 Mac depan.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Margate House Films, Rob Allyn berkata, idea menghasilkan filem sejarah tersebut bermula sejak 2010 lagi dan mengambil masa tiga tahun untuk memberanikan diri menulis skrip.
“Saya terjumpa buku bertajuk Rajah Putih Sarawak yang menceritakan sejarah James Brooke di sebuah kedai buku di Singapura, sekali gus menarik minat saya untuk menterjemahkannya dalam bentuk filem.
“Saya mengambil masa selama tiga tahun memikirkan untuk menghasilkan filem ini. Penulisan skrip filem ini bermula pada 2013 sejurus saya dan pasukan produksi bersetuju untuk menjadikan penceritaan ini sebagai sebuah filem,” katanya.
Rajah meruakan filem terbitan, Margate House Films dan 852 Film dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Sarawak itu diterajui Jonathan Rhys Meyers yang memegang watak James Brooke.
Mendapat sentuhan pengarah, Michael Haussman, Rajah turut menceritakan pengembaraan James Brooke sejak mula berlayar ke Borneo yang pada ketika itu masih berada di bawah kawalan kesultanan Brunei pada 1839.
Selain pelakon tempatan, Shaheizy Sam dan Bront Palarae, Rajah turut menampilkan bintang hebat dari pelbagai negara seperti Atiqah Hasiholan (Indonesia), Dominic Monaghan (British), Hannah New (United Kingdom) dan Josie Ho (Hong Kong).
Bagi Bront, peluang diberikan untuk terbabit dalam pembikinan filem sejarah negeri Sarawak itu adalah pengalaman berharga buatnya.
“Saya rasa beruntung apabila terpilih untuk menggalas watak ini dan sangat senang untuk bekerjasama dengan pelakon-pelakon lain.
“Walaupun dari negara, latar belakang dan budaya berbeza, pendekatan kerja boleh dikatakan sama. Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di set penggambaran, jadi kesemua yang terbabit tidak ada masalah untuk berkomunikasi.
“Ada juga beberapa kesempatan untuk pelakon-pelakon luar mempelajari bahasa kebangsaan dan dialek dialek Sarawak,” katanya.
Sementara itu, Shaheizy berkata, terlibat dalam Rajah merupakan satu pengalaman berharga biarpun senario lakonan di Sarawak menjadi cabaran utama buatnya.
“Pengalaman berlakon dalam filem Rajah sangat berbeza bagi saya kerana berada dalam suasana yang baharu. Penggambaran juga dijalankan sepenuhnya di Sarawak dan itu adalah kali pertama buat saya.
“Walaupun penggambarannya boleh dikatakan mencabar dan tidak berada dalam keadaan selesa, tetapi ia adalah pengalaman yang baik buat saya.
“Selain itu, cabarannya adalah saya perlu menggalas watak orang Melayu zaman dahulu dan menyesuaikan diri dengan bahasa serta budaya di Sarawak,” katanya.
Pembikinan filem Rajah adalah hasil pelaburan bersama antara empat negara iaitu Malaysia, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Malah, dana tunai sebanyak 30 peratus daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut disalurkan kerana pihak produksi terbabit memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran dengan kerjasama syarikat produksi tempatan.