PUTRAJAYA: Sebanyak 10 lokasi berbeza berjaya mencerap hilal Ramadan dalam satu tarikh sama bagi menentukan permulaan puasa umat Islam di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar falak terkenal tanah air, Datuk Dr. Azhari Mohamed berkata, bilangan itu melebihi jangkaan yang mengunjurkan lima lokasi akan dapat mencerap anak bulan Ramadan pada petang semalam di seluruh negara.
“Alhamdulillah, saya difahamkan daripada Urus Setia Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), terdapat 10 lokasi yang kelihatan hilal Ramadan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Imej anak bulan yang tampak seumpama sehelai lembaran benang halus berwarna putih di atas hamparan langit itu turut dapat disaksikan dengan mata kasar di lokasi berkenaan.
Kelmarin, sejumlah 29 lokasi yang diwartakan oleh pihak Majlis Raja-Raja melakukan proses cerapan secara serentak bagi penetapan tarikh permulaan bulan puasa 1444 Hijrah.
Ia selaras dengan keputusan mesyuarat kali ke-92 majlis tersebut pada 1972 yang bersetuju pengisytiharan 1 Ramadan di seluruh Malaysia berdasarkan rukyah atau cerapan hilal.
Mengulas lanjut, Azhari yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia berkata, cuaca di lokasi yang berjaya mencerap anak bulan itu adalah agak cerah.
“Hilal kelihatan secara mata kasar selain melalui beberapa jenis teleskop, teodolit, binokular dan kamera,” katanya yang merupakan antara ahli panel falak Wilayah Persekutuan.
Malah, anak bulan memenuhi kriteria diwartakan sejak 2021 yang menetapkan altitud atau ketinggian ketara bulan tidak kurang tiga darjah dan jarak lengkung lebih enam darjah.
Beliau yang juga bertugas sebagai anggota jawatan kuasa cerapan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) turut gembira kerana lokasi itu berjaya mencerap hilal sekali gus mencipta sejarah tersendiri buat julung kali dapat mencerap anak bulan sejak dijadikan antara tempat pencerapan hampir dua dekad lalu.
Selain PICC ujar Azhari, antara lokasi yang juga berjaya mencerap hilal tersebut ialah di Labuan, Sabah, Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang, sementara baki 19 lagi lokasi lain gagal melihat anak bulan berkenaan kerana suasana langit agak gelap, cuaca pula hujan dan imej penuh berawan.
Laporan lengkap dan penuh bagi setiap lokasi pencerapan tambahnya, akan dimuat naik kelak oleh pihak Jakim menerusi portal sistem Rukyah Hilal Kebangsaan atau myRHK. – UTUSAN