PETALING JAYA: Kerajaan digesa mewujudkan pangkalan data berpusat yang mengumpulkan maklumat individu miskin dan miskin tegar supaya boleh diakses oleh pelbagai pihak.
Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, ini bagi memastikan inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2023 ini dapat disalurkan kepada penerima manfaat dengan efektif.
“Perkara yang harus diambil perhatian adalah penyelarasan pangkalan data penerima manfaat iaitu isi rumah miskin dan miskin tegar.
“Saya mencadangkan satu pangkalan data berpusat diwujudkan dan boleh diakses oleh kerajaan Pusat, kerajaan negeri, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak berkaitan.
“Ini dapat mengelakkan isu duplikasi bantuan diterima dan data boleh disemak imbang integritinya oleh semua pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas peruntukan RM750 juta yang disediakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) sebagai usaha menoktahkan masalah golongan miskin tegar.
Zainal percaya, bahawa kira-kira 130,000 orang rakyat tersusah akan segera dibantu untuk keluar daripada kemiskinan.
“Walaupun Rancangan Malaysia Ke-12 menjangkakan kemiskinan tegar mampu dihapuskan menjelang akhir 2025, tetapi saya percaya dengan inisiatif-inisiatif yang dibentangkan, ia boleh dihapuskan dengan cepat dan lebih awal,” katanya.
Katanya, penyertaan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk melaksanakan program sosial korporat sehingga RM 250 juta amat penting bagi membantu golongan miskin termasuk miskin bandar.
“Saya mencadangkan GLC dan GLIC mewujudkan kerjasama strategik dan membantu NGO melalui pendanaan program-program pembangunan komuniti dan pembasmian kemiskinan.
“Hasrat kerajaan mengatasi kekangan dan kelemahan pelaksanaan inisiatif pembasmian kemiskinan sebelum ini juga adalah langkah perlu dipuji,” katanya.
Pada masa sama, katanya, inisiatif subsidi penggajian kepada majikan yang mengambil miskin tegar bekerja mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada golongan berkenaan bagi memperoleh pendapatan.
Katanya, inisiatif-inisiatif lain turut dialu-alukan seperti IPR bagi mengupayakan golongan miskin, sumbangan tambahan kepada isi rumah termiskin mengikut data e-Kasih dan Skim Perubatan Madani.
Malah, katanya, sumbangan bakul makanan dan baucar barangan makanan asas bernilai RM600 kepada isi rumah dilaksanakan oleh YBK dalam program Sinar Kasih Ramadan sejak 2008.
“Penetapan kumpulan miskin tegar untuk menerima sumbangan sehingga RM3,100 daripada kerajaan sebagaimana yang disebut dalam Bajet 2023 tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif.
“Saya melihat had ini adalah bagi memberi ruang kepada lebih ramai isi rumah miskin tegar menerima manfaat dan memberi peluang kepada pihak swasta dan NGO untuk sama-sama membantu,” katanya. – UTUSAN