PUTRAJAYA: Wisma Putra hari ini melancarkan semula Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN) bagi mengutip sumbangan orang awam sehingga 23 Februari kelak bagi meringankan beban mangsa gempa di Turkiye dan Syria serta negara-negara sekitar yang terjejas teruk.
Menurut kenyataan, TBKLN ditubuhkan kerajaan pada 2006 bertujuan mengumpul dana serta menyelaras sumbangan untuk mangsa bencana di seluruh dunia.
Sehubungan itu, atas keprihatinan dan semangat Malaysia Madani, usaha murni tabung tersebut diteruskan lagi bagi membantu mangsa gempa bumi yang terkesan baru-baru ini.
Wisma Putra menambah, orang awam, organisasi korporat dan pertubuhan bukan kerajaan dialu-alukan menyalurkan sumbangan terus kepada TBKLN menerusi akaun Affin Islamic Bank Berhad Cawangan Putrajaya dengan nombor akaun 1054 9000 0599 atas nama rasmi tabung berkenaan.
Malahan, jelas Wisma Putra, sumbangan yang dibuat itu adalah layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit rasmi, sila menyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen,” tambahnya dan sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan terus kepada Sekretariat TBKLN melalui e-mel rasmi [email protected]. – UTUSAN