Waris bayi ditemukan di pangsapuri diminta tampil - Utusan Malaysia

Waris bayi ditemukan di pangsapuri diminta tampil

BAYI yang ditemukan di sebuah pangsapuri di Kuala Ibai, Kuala Terengganu diberi nama Muhammad Adam Umar Abdul Rahman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu meminta waris kepada seorang bayi lelaki yang ditemukan di sebuah pangsapuri di Kuala Ibai, di sini pada 5 Februari lalu, tampil bagi melengkapkan dokumentasi bayi tersebut.

Menurut Pengarah JKM negeri, Mazura Ngah Abdul Manan, bayi berkenaan kini berada di bawah jagaan sementara pihaknya mengikut Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata, JKM negeri dalam proses melengkapkan dokumentasi bayi yang diberi nama Muhammad Adam Umar Abdul Rahman itu susulan tiada waris yang dapat dikesan sehingga ke hari ini.

“Bayi itu telah dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, kelmarin dalam keadaan sihat, selain turut diberi suntikan imunisasi mengikut umurnya.

“Bagaimanapun JKM tidak dapat mengenal pasti identiti lengkap seperti keturunan, agama dan warganegara bayi terbabit.

“Jadi kami harap waris terdekat dapat tampil membantu melengkapkan urusan dokumentasi Muhammad Adam Umar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambah beliau, Mahkamah Kanak-Kanak Kuala Terengganu telah mengeluarkan perintah jagaan sementara bayi tersebut kepada Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat daerah sehingga 13 Mac ini.

Katanya, perintah jagaan sementara itu diberikan kepada JKM sebelum Muhammad Adam Umar diletakkan di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai atau diletakkan di tempat selamat.

“Waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Kuala Terengganu, Rismauly Mohd. Ishak, di talian 09-6312002,” tambahnya.

Pada 5 Februari lalu, penduduk sebuah pangsapuri di sini dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki berusia kira-kira seminggu yang masih bertali pusat.

Bayi malang itu ditemukan dalam keadaan berbalut kain batik pada pukul 6 petang oleh salah seorang penduduk, Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, di bawah bangku kayu di belakang rumahnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya