SUNGAI PETANI: Seorang wanita warga emas maut dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan untuk pulang ke rumahnya di Kilometer 47, Jalan Alor Setar-Butterworth di Bedong, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.15 malam itu, mangsa, V. Veeramah, 64, yang tinggal di Lorong 3, India Camp, di sini maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun dari arah Sungai Lalang ke Gurun tidak sempat mengelak mangsa yang berjalan kaki di laluannya.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan mangsa terpelanting ke tengah jalan dan meninggal dunia serta-merta. Pemandu kereta yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Gurun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar untuk proses saringan Covid-19 serta bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. –UTUSAN