Wanita maut kereta dipandu menantu langgar treler terbabas - Utusan Malaysia

Wanita maut kereta dipandu menantu langgar treler terbabas

KEMALANGAN melibatkan kereta melanggar belakang sebuah treler yang mengorbankan seorang wanita warga emas di Kilometer 334.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Tapah hari ini. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang wanita warga emas maut setelah kereta dipandu menantunya terbabas melanggar belakang sebuah treler yang terlibat kemalangan di Kilometer 334.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 6.30 pagi itu mengakibatkan Ng Gim Chuang, 81, cedera parah dan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, sebelum nahas itu, telah berlaku kemalangan membabitkan treler muatan alat ganti kereta yang dalam perjalanan dari Johor menuju ke Padang Besar, Perlis.

Katanya, treler dipandu lelaki berusia 42 tahun itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan besi di tengah lebuh raya.

“Pihak PLUS yang sampai di lokasi telah meletakkan kon keselamatan dan lampu amaran di belakang treler berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Toyota Camry yang dalam perjalanan menuju arah sama hilang kawalan dan melanggar kon keselamatan itu sebelum berpusing dan melanggar belakang treler.

“Dalam kemalangan ini, penumpang belakang kereta mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tapah. Mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan pada pukul 8.15 pagi,” katanya.

Menurut beliau, menantu mangsa berusia 63 tahun tidak cedera manakala anak perempuannya berusia 55 tahun mengalami luka di dahi. Pemandu dan kelindan treler tidak cedera.

“Tiada tangkapan dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya