Usul tambahan PAU 2022: RoS panggil ahli MKT

Usul tambahan PAU 2022: RoS panggil ahli MKT

AIZAT Fikri Nasir Fikri ketika hadir memberi keterangan kepada RoS, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memanggil ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi mendapatkan pandangan mereka tentang usul tambahan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dan cara usul itu dibawa.

Ahli UMNO Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir Fikri berkata, perkara itu dimaklumkan ketika beliau dipanggil pihak RoS semalam untuk memberi keterangan lanjut berkenaan laporannya berhubung perlanggaran Perlembagaan UMNO semasa PAU 2022 itu.

Beliau berkata, Pihak RoS mengambil maklum dan sedang mengkaji Fasal 8.1 Perlembagaan UMNO iaitu Perhimpunan Agung adalah kuasa tertinggi parti dan perjalanan parti adalah berasaskan kepada kuasa dan perintahnya tertakluk kepada Perlembagaan dan juga peraturan UMNO.

Katanya, kajian turut dibuat di bawah Fasal 9.3 Perlembagaan pula yang menyatakan pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 ahli MKT hendaklah dipilih dalam mesyuarat perwakilan bahagian tiap-tiap tiga tahun sekali.

“Isunya, walaupun PAU mempunyai kuasa tertinggi, namun ia tidak boleh meluluskan sesuatu yang bercanggah atau tiada dalam Perlembagaan.

“Sebagai contoh jika ada usul dibawa dalam PAU untuk UMNO mewujudkan dua jawatan presiden, ia tidak boleh diambil kira kerana Perlembagaan UMNO menyatakan hanya satu jawatan Presiden.

“Bahkan dalam urusan kerajaan, Dewan Rakyat juga tidak boleh membuat ketetapan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, jika ia berlaku ketetapan itu terbatal secara automatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aizat Fikri berkata, ketetapan ini juga tidak dibuat mengikut peraturan persidangan perhimpunan agung apabila gagal memberi notis selama 14 atau tujuh hari seperti yang dinyatakan dalam peraturan 10.1 pemberitahuan usul.

Katanya, mengikut peraturan 20.1 Pindaan Usul, pada masa sesuatu usul itu dalam pertimbangan persidangan atau jawatankuasa, boleh dicadangkan pindaan-pindaan jika ia berkaitan dengan usul itu.

“Saya telah menjelaskan kepada RoS bahawa usul ucapan dasar presiden dan usul tambahan itu adalah dua perkara berbeza dan tidak berkaitan.

“Pihak RoS juga menjelaskan kepada saya, tempoh masa 60 hari yang diberikan kepada UMNO itu bukanlah tempoh siasatan ini tetapi ia bagi UMNO menghantar laporan penuh persidangan baru-baru ini.

“Siasatan bagi laporan ini akan tetap diteruskan sekali gus menafikan kenyataan Setiausaha Agung UMNO bahawa isu ini selesai,” katanya.

Pada masa sama, Aizat memaklumkan, pihak RoS berpuas hati dan memberi jaminan akan menjalankan siasatan dengan adil dan secepat mungkin sebagai mengambil pertimbangan UMNO kini dalam tempoh persidangan sekali gus sebarang keputusan daripada RoS boleh memberi kesan terhadap pemilihan kali ini.

“Saya harap Presiden dan Timbalan Presiden dapat bersabar dan tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan. Biarlah RoS menjalankan siasatan dengan adil dan bebas.

“Terima kasih kepada RoS kerana bersikap tegas. Rakyat di luar bijak menilai, biarlah masa yang menentukan segalanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya