USM pastikan tiada penuntut terpaksa ikat perut - Utusan Malaysia

USM pastikan tiada penuntut terpaksa ikat perut

FOOD Bank Maidaturrahman merupakan antara inisiatif yang diambil pengurusan USM Pulau Pinang dalam memastikan penuntut universiti berkenaan mendapatkan bekalan makanan mencukupi dan bersesuaian dengan keperluan mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) mempunyai banyak pilihan dalam menikmati hidangan di kampus, malah pihak pengurusan USM juga sentiasa peka dalam memastikan tiada penuntut yang tidak mendapat makanan ketika mengikuti pengajian.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Prof. Dr. Azlinda Azman, penuntut USM juga boleh memilih menu dari serendah RM3.50 yang dijual di kafetaria.

“Ketika ini juga, USM sedang berusaha memperkenalkan Menu Rahmah pada kadar RM5 dengan pilihan yang lebih banyak.

“USM juga mempunyai Food Bank Maidaturrahman yang menyediakan makanan percuma yang dibuat melalui kerjasama BHEPA dengan Pusat Islam untuk semua penuntut. Ia turut ditambah dengan makanan sumbangan alumni yang diedarkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, terdapat penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) terpaksa ikat perut atau hanya makan mi segera sebagai langkah penjimatan.

Malah, ada kalanya jika dapat membeli nasi sekalipun, penuntut IPT hanya memilih satu lauk tanpa sayur-sayuran atau hidangan lain demi memastikan perbelanjaan mereka sepanjang di kampus mencukupi.

Sedangkan golongan berkenaan sepatutnya menikmati menu seimbang dan jadual pemakanan yang konsisten untuk kecemerlangan pendidikan mereka.

Dalam pada itu, Azlinda berkata, kebajikan penuntut sentiasa menjadi keutamaan universiti dan USM turut menyediakan pelbagai bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya memohon pelajar USM yang mempunyai masalah terutamanya dalam mendapatkan makanan untuk menghubungi BHEPA USM untuk bantuan sewajarnya,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya