UPM perluas autonomi pelajar perkasa kebebasan bersuara

UPM perluas autonomi pelajar perkasa kebebasan bersuara

DR MOHD. ROSLAN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) mengangkat hak kebebasan bersuara mahasiswa dengan memperluaskan lagi autonomi pengurusan kewangan berkaitan aktiviti golongan itu bermula tahun ini.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata, keputusan itu melibatkan sebarang kelulusan dan kewangan aktiviti yang akan diuruskan pelajar sendiri.

Menurut beliau, perkara itu akan diperincikan dalam Naratif Naib Canselor yang bakal disampaikan pada 15 Februari ini.

Beliau berkata, UPM adalah kampus mesra pelajar kerana menyediakan beberapa platform autonomi dan kebebasan bersuara kepada pelajar, antaranya pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dikendali dan diuruskan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pemilihan MPP.

“Jawatankuasa itu dianggotai para pelajar sahaja dengan sokongan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP).

“Selain itu, UPM memberi kebebasan kepada pelajar untuk mengurus Sidang Parlimen Kesatuan Pelajar UPM (empat kali setahun), di bawah Jawatankuasa Parlimen Kesatuan Pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Roslan berkata, UPM menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar universiti memberi kebebasan bersuara kepada pelajar.

Ini termasuk menggesa kampus membuka ruang lebih segar untuk pelajar memberi pandangan melainkan hal-hal yang mencerca atau bersifat perkauman serta pandangan melampau.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam usaha memperkasakan lagi suara pelajar, wakil MPP juga dilantik sebagai Ahli Tetap dalam Jawatankuasa Kebajikan Pelajar dan Jawatankuasa Aduan Pelajar.

“Proses ini amat penting kerana ia memberi lebih banyak tanggungjawab kepada pelajar dan melibatkan mereka dalam proses pembuatan keputusan demi kepentingan universiti.

“Ini juga selaras usaha pemerkasaan mahasiswa seperti yang ditegaskan dalam Perutusan Tahun Baharu Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,” katanya.

Di samping itu, katanya, dalam memupuk pemerkasaan mahasiswa dan kebebasan bersuara, UPM mengambil saranan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Tuanku Canselor UPM untuk menggalakkan penghayatan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’ dengan berhemah ketika berkomunikasi dan tidak memberi komen-komen keterlaluan dan mengeluarkan ayat-ayat berunsur fitnah, cacian dan hasad dengki.

Berdasarkan Matlamat 1 dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 juga, katanya, UPM komited dalam melahirkan graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.

“Ini boleh dijayakan melalui pemerkasaan mahasiswa dan kebebasan bersuara yang dipertanggungjawabkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya