KUALA LUMPUR: Persatuan Pengundi Muda (UNDI18) tidak bersetuju dengan penangkapan dua orang pelajar yang meluahkan rasa tidak puas hati berhubung soalan kertas peperiksaan subjek Sejarah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam sebuah video berdurasi 36 saat.
Dalam kenyataannya, UNDI18 menganggap tindakan itu akan mengganggu fokus serta emosi kedua-dua pelajar berkenaan.
“Susulan dengan penangkapan yang dikenakan ke atas dua remaja lelaki yang juga merupakan pelajar sekolah yang sedang menduduki SPM adalah tindakan yang tidak wajar dan kurang tepat.
“Mereka kini akan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
“Perkara ini secara tidak langsung akan mengganggu fokus dan emosi pelajar tersebut yang masih menduduki peperiksaan SPM tersebut,” katanya.
Pihak polis sebelum ini mengeluarkan kenyataan berkaitan hal itu menjelaskan penahanan dua remaja masing-masing berusia 18 tahun itu dibuat selepas menerima laporan daripada guru wanita berusia 53 tahun jam 10.53 pagi semalam.
Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) itu turut menegaskan kedua-dua remaja itu adalah pelajar sekolah dan kurang pendedahan mengenai bahaya menggunakan platform media sosial untuk tujuan yang salah.
“Tindakan seorang guru yang membuat laporan polis berkenaan isu ini sehingga berlaku tangkapan ke atas pelajar terbabit merupakan satu tindakkan yang tidak wajar dan kurang tepat.
“Sebaliknya, guru tersebut boleh membuat laporan terus ke sekolah pelajar berkenaan berdasarkan maklumat identiti lencana sekolah yang dipakai pelajar tersebut dan lembaga disiplin sekolah serta unit bimbingan dan kaunseling sekolah perlu memainkan langkah proaktif awal dalam menasihati mereka yang terlibat sebagai usaha membendung perkara-perkara seumpanya berulang.
Berikutan perkara itu, UNDI18 menggesa pihak kerajaan untuk memansuhkan Seksyen 233 Akta SKMM.
Katanya, tuntutan bertujuan supaya akta tersebut tidak akan disalahgunakan pada masa akan datang terhadap rakyat yang mengekspresikan pendapat dan pandangan mereka menerusi platform media sosial bagi menjamin hak kebebasan bersuara semua lapisan masyarakat. – UTUSAN