UMNO Padang Besar buka ruang mana-mana calon tanding Ketua Bahagian - Utusan Malaysia

UMNO Padang Besar buka ruang mana-mana calon tanding Ketua Bahagian

AZIZAN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: UMNO Bahagian Padang Besar membuka ruang seluas-luasnya kepada mana-mana calon yang berminat untuk bertanding khususnya bagi merebut jawatan Ketua Bahagian dalam pemilihan bermula bulan ini.

Kepimpinan parti itu di peringkat bahagian sentiasa terbuka dalam bersaing dengan mana-mana calon untuk membawa UMNO ke arah lebih baik pada masa hadapan.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Azizan Sulaiman berkata, melihat kepada keadaan semasa parti yang berdepan kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), barisan kepimpinan yang baharu perlu diberi peluang bagi memberi komitmen dalam meraih semula sokongan rakyat.

“Ramai yang bertukar arah sejak UMNO kalah teruk pada PRU15, jadi disebabkan itulah sekarang kita membuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk bertanding khususnya bagi jawatan Ketua Bahagian.

“Dan sebolehnya saya berharap calon-calon yang bertanding mempunyai pemikiran untuk membantu dan memulihkan semula UMNO,” katanya di sini hari ini.

Pada November lalu, bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin dipecat keanggotaannya selepas memilih bertanding sebagai calon bebas pada PRU15 setelah namanya digugurkan oleh parti itu.

Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi Padang Besar apabila hanya memperoleh 1,939 undi dan kehilangan deposit dalam pertembungan lima penjuru yang dimenangi oleh Rushdan Rusmi daripada Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai pemilihan akan datang, Azizan berkata, beliau juga berhasrat mempertahankan jawatan Timbalan Ketua Bahagian dan tidak memilih untuk memegang jawatan ketua yang dipangkunya ketika ini.

“Saya akan pertahan jawatan timbalan bagi membantu parti ini untuk bangkit semula dan sebolehnya kita mahu beri peluang kepada generasi muda pula untuk menjadi ketua bagi memimpin bahagian ini,” katanya.

Tambahnya, beliau berharap pemilihan kali ini akan berlangsung secara harmoni memandangkan semua pihak diberi ruang untuk bertanding setiap jawatan yang ditawarkan.

“Saya juga telah maklumkan kepada semua jawatankuasa bahagian bahawa sesiapa sahaja boleh bertanding pada pemilihan kali ini namun kita mengharapkan agar generasi muda dapat diketengahkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN