UMNO: Hanya Mahdzir menang tanpa bertanding di Kedah

UMNO: Hanya Mahdzir menang tanpa bertanding di Kedah

ARIFFIN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi satu-satunya calon Ketua UMNO Bahagian yang menang tanpa bertanding di Kedah dalam pemilihan parti kali ini. 

Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ariffin Man berkata, selain Mahdzir di Padang Terap, kesemua jawatan ketua di 14 bahagian lain bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu dan empat penjuru. 

Katanya, sebanyak empat bahagian berdepan saingan empat penjuru iaitu Jerlun, Kuala Kedah, Sik dan Jerai manakala 10 lagi melibatkan pertembungan satu lawan satu.

“Antara penyandang yang mengekalkan jawatan itu adalah Datuk Othman Aziz di Jerlun, Datuk Said Ali Syed Rastan di Pokok Sena, Datuk Suraya Yaacob (Pendang) serta Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Jerai).

“Selain itu, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah akan pertahan jawatan Ketua Bahagian di Sik diikuti Annuar Ahmad (Merbok); Datuk Shahanim Mohamad Yusoff (Sungai Petani); Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling); Datuk Asmaidi Abu Talib (Padang Serai) dan Datuk Abdul Muhar Hussin (Kulim-Bandar Baharu).

“Terdapat empat bahagian di Kedah yang penyandang ketua tidak kembali berada dalam pertandingan iaitu Langkawi, Kuala Kedah, Kubang Pasu dan Alor Setar dan keadaan itu melihat jawatan itu kini ditandingi oleh pemangku ketua bahagian, muka baharu serta individu berpengalaman yang membuat penampilan semula,” katanya. 

Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Hashim Jahaya meninggal dunia tahun lalu, manakala Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail digantung parti sebelum ini. 

Difahamkan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Zaini Japar mengambil keputusan untuk tidak mempertahan jawatan tersebut atas faktor kesihatan. 

Sementara itu, Ariffin memaklumkan, secara keseluruhannya terdapat 36 individu menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua di 15 Bahagian UMNO dalam negeri ini. 

Menurutnya, beberapa individu berpengalaman turut membuat penampilan semula antaranya bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah serta bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharom yang sah bertanding sebagai Ketua Bahagian UMNO Alor Setar dan Kubang Pasu. 

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin turut kembali merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerlun dan bekas Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Othman Aziz.

“Bekas Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Mejar Abdul Rahim Saad turut kembali bertanding menentang Shahanim. Di Padang Serai juga, bekas Ketua Bahagian, Abdul Rahman Mahamud juga kembali merebut jawatan itu daripada penyandang, Datuk Asmaidi Abu Talib.

“Bekas Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abd. Rahman turut menghantar borang untuk mencabar jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik yang kini disandang, Mohd. Tajuddin. Selain kedua-dua mereka, jawatan itu turut ditandingi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid serta Datuk Mohd. Kizri Abu Kasim,” katanya.  

Antara individu lain yang turut merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO di Kedah adalah anak Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd. Nazifuddin yang bertanding Ketua UMNO Bahagian Langkawi serta Timbalan Presiden Kelab Penyokong Perpaduan Ummah, Zamil Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya