UKM Perkasa 11 Agenda KPT bagi Pembangunan Malaysia MADANI

UKM Perkasa 11 Agenda KPT bagi Pembangunan Malaysia MADANI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH ledakan pandemik menampakkan penurunannya, Malaysia kini berhadapan dengan fasa peralihan yang sarat dengan tranformasi berorientasikan pendigitalan, inovasi pendidikan serta cabaran sosioekonomi masyarakat.

Maka wujudlah keperluan untuk mencari citra baharu dalam melaksanakan strategi yang berpasak pada realiti semasa. Justeru, Perutusan Tahun Baharu 2023 Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini seakan titipan amanah yang wajib diperhalusi oleh semua pentadbir universiti.

Dalam amanat beliau, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan tentang kepentingan kepimpinan tertinggi IPT, terutamanya Naib Canselor Universiti dalam melaksanakan strategi kepemimpinan berkesan.

Empat tugas utama Naib Canselor IPT telah diutarakan; iaitu sebagai jurucakap utama institusi ilmu, pencetus jaringan strategik, perencana sumber kewangan dan juga pemangkin potensi warga akademia.

Melalui ucapannya, YB Menteri KPT turut menggagaskan 11 aspirasi yang bakal melonjakkan sektor pendidikan Malaysia agar lebih berkualiti dan diiktiraf dunia. 11 aspirasi tersebut secara amnya memberi tumpuan kepada dasar KPT yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Justeru, tiba masanya kita sederap menyahut seruan daripada YB Menteri KPT agar apa yang diungkapkan beliau terus menjadi tiang pasak kepada tata kelola pentadbiran universiti yang cemerlang lagi hebat.

Tidak mahu sudah kalah baru berkubu, Universiti Kebangsaan Malaysia sememangnya telah mengatur strategi governan yang menyeluruh melalui kerangka holistik TERAS yang diperkenalkan pada tahun 2021.

Melalui aspek governan, UKM telah melaksanakan inisiatif mempertingkatkan kemampanan polisi, tadbir urus dan pemerkasaan warga universiti ke tahap tertinggi. Bukan sekadar Naib Canselor Universiti sahaja yang sering membahas pelbagai isu nasional di dada-dada akhbar, para sarjana universiti juga turut diajak berbahas sama.

Untuk tahun 2022 sahaja, UKM telah merekodkan lebih daripada 1460 petikan akhbar yang merujuk kepada sarjana UKM dalam membahas isu-isu nasional.UKM sebagai universiti watan yang memperkasa pembangunan negara bangsa turut berperanan mempersembahkan pelbagai dasar nasional secara profesional melalui program-program akademik.

Di UKM, kerjasama industri diintegrasi secara menyeluruh melibatkan pihak akademik, industri, dan pihak berkepentingan. Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap penjanaan pendapatan universiti, malah berupaya meningkatkan tahap visibiliti UKM.

Penubuhan kampus pesisir UKM di Qatar, Doha menjadi bukti pengiktirafan antarabangsa yang tidak sedikit nilainya. Kampus antarabangsa UKM menjadi bukti ketersediaan universiti watan ini dalam memacu pembudayaan digital merentasi tiga dimensi iaitu fizikal, digital dan biologikal.

Kolaborasi UKM bersama industri pula merupakan antara pelan jaringan strategik sedia ada. Hasil kerjasama seperti ini diharap dapat mengukuhkan lagi jaringan kolaborasi industri-akademia yang sememangnya menjadi agenda utama UKM.

Bagi menangani perubahan disruptif pendidikan tinggi, dasar dan polisi yang relevan telah dikemaskini selari dengan agenda universiti untuk membudayakan penjanaan pendapatan yang mampan.

Pelan kemandirian dan kelestarian kewangan UKM telah dilaksanakan melalui usaha transformasi universiti melalui penjanaan yang didorong oleh inovasi dan teknologi. Untuk ini, aktiviti pengkomersialan produk inovasi telah dilaksanakan dengan lebih praktikal, antaranya melalui pemerkasaan model perniagaan universiti awam.

Usaha pengkomersialan produk inovasi dan pemindahan teknologi melalui penubuhan syarikat pemula turut digerakkan seiring dengan agenda pengkomersialan negara.

Pembudayaan inovasi di kampus UKM melalui pemerkasaan khidmat sokongan dan prasarana yang kondusif turut dilaksanakan. Keserlahan produk dan inovasi kepada golongan sasar pula berjaya memantapkan jaringan kolaborasi strategik, memacu kesejahteraan komuniti, mempersada kecemerlangan institusi dan menyemarak semangat prihatin.

Hasrat YB Menteri KPT agar pemimpin universiti dapat mengenal pasti pemimpin pelapis dan mengetengahkan bakat muda dari pelbagai latar belakang juga sentiasa terpasak dalam agenda UKM. Kerangka TERAS UKM jelas menggambarkan aspirasi universiti ini dalam mencungkil dan menggilap bakat, yang seterusnya mendorong ke arah pengembangan potensi kecemerlangan.

Selaras dengan usaha merintis dimensi baharu intelektualisme, penerapan elemen inovasi yang mampan dalam semua aspek mampu membawa pembaharuan dan pemantapan minda semua warga. Ini bagi melahirkan golongan akademia yang hebat dan menggalakkan keberhasilan ilmu penyelidikan yang berimpak kepada industri, masyarakat dan negara.

Kesimpulannya, amanat tahun baharu 2023 oleh YB Menteri KPT jelas menggariskan harapan dan masa depan negara bangsa yang mampu merealisasikan Agenda Malaysia MADANI. UKM akan menjadikan amanat ini sebagai garis panduan dalam melaksanakan aspek governan yang lebih berkesan, seiring tuntutan masyarakat dan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya