UiTM sedia perkhidmatan bantu urus kebajikan mahasiswa luar kampus - Utusan Malaysia

UiTM sedia perkhidmatan bantu urus kebajikan mahasiswa luar kampus

UiTM
UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan sekurang-kurangnya lapan per­khidmatan untuk membantu mahasiswanya yang tidak tinggal di kolej kediaman.

Universiti itu mempunyai bahagian khusus menguruskan kebajikan mahasiswa di luar kampus iaitu Unit Pengurusan Non-Resident (UPNR) yang menyediakan perkhidmatan, kebajikan dan aktiviti kepada mereka.

Pengurusan UiTM memaklumkan, UPNR turut mempu­nyai unit khusus serta pangkalan maklumat bagi mahasiswa yang ingin­ mendapatkan rumah sewa dekat lokasi dikehendaki khususnya bandar raya ini ketika menjalani pengajian.

“UPNR mempunyai perkhidmatan strategi hebahan rumah sewa boleh diakses mahasiswa melalui laman web NR UiTM, NR Home yang menyediakan lebih 600 kediaman untuk di­sewa. Malah mahasiswa boleh membuat perbandingan kos sewaan.

“Selain itu, UPNR membenarkan pemilik-pemilik rumah mengiklankan rumah sewa mereka dalam laman NR Home untuk mendapatkan penyewa dalam kalangan mahasiswa UiTM. Pada hari ini kira-kira 4,000 hingga 6,000 mahasiswa masih boleh mendapatkan rumah sewa,” katanya.

Tambahnya, terdapat lebih 30 kawasan di sekitar daerah Petaling, Klang serta Kuala Lumpur menjadi lokasi taburan kediaman mahasiswa non-resi­den seperti di Shah Alam, Bukit Raja, Setia Alam, Puncak Alam dan Subang Jaya.

Sehubungan itu, mahasiswa yang sudah memilih rumah sewa mereka juga boleh mendapatkan bantuan daripada UPNR melalui perkhidmatan penasihat atau perunding cara untuk urusan perjanjian dan sebagai­nya.

Selain perkhidmatan hebahan rumah sewa, UPNR menyediakan permohonan insentif makanan, bantuan keperluan mahasiswa, perhubungan mereka dengan masyarakat atau agensi luar serta pengurusan dokumen berkaitan.

Terdahulu, Utusan Malaysia dalam la­poran khasnya me­laporkan, pengambilan pelajar yang tidak seimbang dengan kapasiti kemudahan penginapan di dalam kampus menyebabkan mereka menjadi mangsa kea­daan sehingga terpaksa mencari rumah sewa dan menanggung per­belanjaan melebihi RM1,000 sebulan untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, pengurusan UiTM turut memastikan mahasiswa yang tinggal di luar kampus sentiasa berada dalam pemantauan dengan mengadakan pelbagai aktiviti termasuk lawatan dan rondaan ke rumah-rumah dan kawasan kediaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya