UiTM sedia bincang laksana penjualan Menu Rahmah - Utusan Malaysia

UiTM sedia bincang laksana penjualan Menu Rahmah

Menu Rahmah UiTM
MOHD. SAZILI SHAHIBI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira 160,000 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) bakal mendapat manfaat makanan ‘Menu Rahmah’ apabila pengurusan universiti itu merancang untuk melaksanakannya dalam masa terdekat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP), Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi memaklumkan pengurusan UiTM akan mengadakan perbincangan dengan peniaga-peniaga dalam kampus dalam masa terdekat mengenainya.

“Pada perancangan saya, pelaksanaan Menu Rahmah boleh dilaksanakan secara berfasa di setiap kampus seluruh negara dan akan dibincangkan bersama Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor.

“Perbincangan dengan peniaga-peniaga dalam kampus juga akan melihat keperluan yang akan mereka kemukakan termasuk penyelarasan sewaan premis di kesemua 35 cawangan. Insya Allah akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dilapor mengumumkan kementeriannya dengan Kementerian Pengajian Tinggi juga akan melancarkan Menu Rahmah di 20 kafe institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sekitar Lembah Klang selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Dalam masa sama, Mohd. Sazili turut mengakui menerima permintaan dalam kalangan mahasiswa supaya menu makanan yang ditetapkan pada harga maksimum RM5 itu dijual di dalam kampus sebagai manfaat daripada dasar kerajaan.

“Sebelum ini memang ada menu sedemikian yang dijual pada harga RM3.90, namun pelaksanaannya kurang memberangsangkan. Jadi, kali ini perlu disusun betul-betul dan apabila selesai perbincangan dengan pelbagai pihak, kita akan laksanakan.

“Tetapi, dalam masa sama kita juga tidak mahu peniaga-peniaga terbeban dengan penjualan makanan tersebut, sebab itu kita perlu berbincang dengan mereka. Bila bersedia nanti kita akan umumkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya