TVET perlu diperluas kepada wanita muda - Nurul Hazwani

TVET perlu diperluas kepada wanita muda – Nurul Hazwani

NURUL HAZWANI HASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Puteri UMNO perlu menjadi titik permulaan dalam mengenal pasti golongan wanita muda berpotensi untuk diserap ke dalam institusi program latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Calon Ketua Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan berkata, usaha ini selaras dengan Belanjawan 2023 yang menggariskan pelbagai inisiatif dan insentif dalam merealisasikan pembangunan ekonomi rakyat.

Dalam hal ini, jelasnya lagi perubahan perlu dibuat kerana institusi TVET secara amnya didominasi oleh golongan lelaki, sekali gus wanita muda juga harus diberi tempat agar lebih ramai yang boleh ke depan untuk menyerlahkan potensi diri.

“Saya mencadangkan agar pihak berkepentingan seperti kerajaan dan swasta menitikberatkan sensitiviti jantina dalam pembangunan inisiatif TVET dengan menyediakan infrastruktur pembelajaran sensitif jantina di institusi-institusi TVET.

“Selain itu, kerajaan juga perlu merekabentuk dan melaksanakan dasar tindakan afirmatif nasional untuk penyertaan wanita muda dalam bidang pekerjaan yang didominasikan oleh lelaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu juga, penambahan bilangan pengajar TVET professional wanita muda boleh dibuat bagi mengajar disiplin kemahiran yang didominasi oleh golongan lelaki.

Malah, satu penyelidikan secara khusus bagi menarik minat wanita muda menyertai TVET boleh dibuat dengan menyalurkan sebahagian daripada perbelanjaan TVET khusus kepada golongan ini.

“Pendedahan awal sebegini mampu meningkatkan pengetahuan praktikal dan menjadi aset berharga kepada kebolehpasaran wanita muda yang mengikuti TVET. Pendekatan transformasi jantina yang inovatif termasuk membangunkan kemahiran keusahawanan dan meningkatkan penyertaan wanita dalam dunia pekerjaan seharusnya dipupuk, ” ujarnya.

Secara dasarnya, sebanyak 20.6 peratus atau 186,855 daripada jumlah keseluruhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan perniagaan pemilikan wanita di negara ini yang menyumbang kepada RM69.1 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membuka hampir 800,000 peluang pekerjaan.

Sementara mengikut rekod dari sudut teknikal, pada tahun 2021, penyertaan kaum wanita dalam bidang profesional dan teknikal adalah 41.5 peratus berbanding 58.5 peratus kaum lelaki.

“Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada organisasi PUTERI bertindak secara progresif menjadi ‘bridge’ penyaluran informasi serta peluang terbuka bagi meningkatkan kapasiti permintaan pasaran buruh, terutamanya terhadap pengambilan wanita muda berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor ekonomi.

“Kombinasi dua elemen 4S iaitu SINERGI dan STABIL memainkan peranan utama bagi menjayakan usaha ini. Strategi dan perancangan ini boleh diukur dan dicapai, bukannya retorik, ” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya