KANGAR: Kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian mencecah RM13 juta dalam tempoh 10 tahun berikutan sikap segelintir masyarakat yang culas membayar cukai tanah.
Selain itu, jumlah akumulatif tunggakan cukai tanah di Perlis juga direkodkan sebanyak RM2 juta pada setiap tahun.
Pengarah Jabatan Tanah dan Galian (JTG) negeri, Ismasuhaimi Shariff berkata, jumlah akumulatif itu merupakan kadar tunggakan yang terkumpul dari masa ke semasa pada setiap tahun berikutan daripada kegagalan pemilik hartanah menjalankan tanggungjawab mereka.
“Disebabkan itulah kita cuba untuk tawarkan beberapa inisiatif kepada pemilik hartanah untuk menggalakkan mereka melunaskan bayaran tunggakan cukai mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Kempen Jom Bayar Cukai Tanah Negeri Perlis Secara Tanpa Tunai di Pejabat JTG negeri di sini hari ini.
Menerusi kempen yang bermula pada 1 Januari sehingga 31 Mac itu, JTG Perlis menawarkan hadiah lumayan berjumlah RM100,000 secara keseluruhan terdiri daripada motosikal, barangan elektrik dan elektronik.
Kempen itu turut mendapat kerjasama Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) selaku penaja utama.
Dalam pada itu, Ismasuhaimi berkata, setiap pemenang akan dipilih melalui kaedah cabutan bertuah pada setiap bulan sehingga tempoh kempen itu berakhir pada Mac ini.
“Objektif utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Perlis berhubung kaedah pembayaran tanpa tunai di jabatan ini yang selaras dengan inisiatif Pelan Digital Perlis bagi menghubungkan masyarakat, kerajaan dan swasta,” katanya.
Di samping itu, Ismasuhaimi berkata, kempen itu juga tidak terhad kepada pembayaran cukai tanah sahaja namun turut terbuka buat semua jenis transaksi di JTG Perlis.
Katanya, setiap pemilik tanah di negeri ini bukan sahaja dapat memenangi cabutan bertuah ditawarkan malah turut berpeluang menikmati tawaran diskaun cukai bermula pada kadar tiga sehingga lapan peratus mengikut kategori tanah masing-masing.
“Perlis merupakan satu-satunya negeri menawarkan diskaun berkenaan sebagai salah satu inisiaitif bagi menggalakkan pemilik hartanah melunaskan bayaran cukai mereka.
“Kempen ini turut mensasarkan peningkatan transaksi bayaran tanpa tunai sehingga 50 peratus berbanding bayaran secara tunai,” katanya.-UTUSAN