PETALING JAYA: Seorang tukang kebun ditahan selepas mencuri bungkusan berisi barangan di sebuah pangsapuri di Taman Nirwana, di sini pada Khamis lalu.
Dalam kejadian pukul 1.20 petang itu, pengadu memaklumkan dihubungi pihak penghantar barang untuk menghantar bungkusan barangan dibelinya secara dalam talian.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengadu kemudian meminta individu berkenaan meletakkan bungkusan itu di atas meja yang disediakan di lobi lif pangsapuri terbabit kerana dia tiada di rumah.
Namun, semasa pengadu sampai di lobi untuk mengambil bungkusan itu pukul 8.30 malam hari sama, dia mendapati bungkusan berkenaan hilang disyaki dicuri.
“Susulan itu, seorang lelaki berusia 24 tahun yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah syarikat swasta di Kampung Pandan ditahan pada pukul 4.50 petang, kelmarin.
“Dua bungkusan mengandungi pen Ipad dan produk kosmetik dianggarkan bernilai RM130 milik pengadu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Farouk berkata, modus operandi suspek adalah menyasarkan bungkusan yang diletakkan di peti surat rumah.
“Hasil semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan kes dadah, manakala ujian awal air kencing lelaki itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin.
“Suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 14 Februari nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN